PAS perlu membuktikan kemampuan menawarkan pentadbiran alternatif kepada rakyat Selangor dan bukan sekadar bercakap mengenai usaha menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohamad Shahrul Adnan.
Beliau berkata, hasrat Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk menjadikan Selangor sebagai titik mula menumbangkan PH tidak menjadi masalah dalam amalan demokrasi, namun PAS perlu tampil dengan dasar serta perancangan yang jelas.
“Sanusi mahu tumbangkan PH di Selangor? Silakan. Itu hak PAS dan Perikatan Nasional dalam sebuah negara demokrasi. Malah apabila Sanusi mencabar supaya prestasi pentadbiran dibandingkan, kami sambut cabaran tersebut.
“Tetapi sebelum bercakap besar mahu mengambil alih Selangor, PAS perlu menjawab satu persoalan mudah kepada rakyat negeri ini: apa sebenarnya yang PAS mahu tawarkan kepada rakyat Selangor?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad Shahrul berkata, sebagai parti pembangkang yang mempunyai ramai wakil dalam Dewan Negeri Selangor, PAS sepatutnya menggunakan kedudukan itu untuk membuktikan kesediaan mereka menjadi kerajaan menerusi dasar dan pelan pentadbiran yang konkrit.
Katanya, kemampuan mentadbir tidak boleh diukur hanya berdasarkan kekuatan jentera pilihan raya atau kehadiran dalam ceramah, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi keupayaan mengurus ekonomi, hasil negeri, pembangunan, perumahan, pengangkutan, infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat.
“Menjadi kerajaan bukan sekadar mempunyai jentera pilihan raya yang ramai atau memenuhi pentas ceramah. Menjadi kerajaan memerlukan kemampuan mengurus hasil negeri, pembangunan, pelaburan, perumahan, pengangkutan, infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat.
“Kalau Belanjawan Alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor,” ujarnya.
Beliau berkata, cabaran Sanusi untuk membandingkan prestasi pentadbiran juga wajar disambut dengan melihat kedudukan Selangor sebagai antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara serta pusat utama pelaburan, perindustrian, perdagangan dan peluang pekerjaan.
Menurutnya, prestasi berkenaan perlu dinilai berdasarkan rekod pentadbiran dan angka, bukannya slogan politik semata-mata.
“Kalau Sanusi mahu membandingkan rekod pentadbiran, bandingkan Selangor dengan negeri-negeri yang ditadbir PAS dan biarkan angka serta rakyat sendiri membuat penilaian,” katanya.
Mohamad Shahrul berkata, Kerajaan Negeri Selangor juga baru membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030 yang menetapkan hala tuju pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Jelasnya, ketika kerajaan negeri sedang merancang strategi untuk mengembangkan ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat, menarik pelaburan dan memperkukuh pembangunan sehingga 2030, PAS pula dilihat lebih banyak menumpukan kepada usaha menukar kerajaan.
“Itulah bezanya antara sibuk merancang bagaimana mahu membangunkan negeri dengan sibuk merancang bagaimana mahu mendapatkan kuasa,” jelas Mohamad Shahrul.
Beliau berkata, jika PAS benar-benar mahu tampil sebagai kerajaan alternatif, parti itu perlu mengemukakan dasar, angka dan pelan yang boleh dinilai rakyat, termasuk bagaimana mahu meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi, menyediakan pekerjaan bergaji tinggi serta menangani isu perumahan, banjir, pengangkutan, infrastruktur dan kos sara hidup.
“Rakyat Selangor mahu tahu apa yang PAS mampu lakukan lebih baik, bukan sekadar mendengar siapa yang PAS mahu tumbangkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Shahrul menegaskan AMK Selangor tidak gentar dengan hasrat PN untuk menjadikan Selangor sebagai sasaran politik pada PRU16.
Beliau berkata, PAS dan PN dialu-alukan untuk turun berkempen di seluruh negeri secara demokratik serta membentangkan rekod pentadbiran negeri yang ditadbir mereka untuk dibandingkan dengan Selangor.
“Bentangkan rekod pentadbiran PAS dan negeri-negeri yang mereka tadbir, kemudian bandingkan dengan Selangor. Biar rakyat menjadi hakim,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan PAS supaya tidak menggunakan sentimen perkauman dalam usaha mendapatkan sokongan politik di Selangor yang dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Katanya, kepelbagaian masyarakat merupakan antara kekuatan negeri itu yang dibangunkan secara bersama oleh rakyat daripada pelbagai latar belakang.
“Kalau PAS mahu menawan Selangor, lawanlah dengan idea, dasar dan prestasi. Jangan cuba menawan Selangor dengan sentimen yang memecah-belahkan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS mahu menjadikan Selangor sebagai titik permulaan untuk menumbangkan PH di negeri itu sebelum membawa momentum berkenaan ke peringkat Persekutuan pada PRU16.

Sanusi berkata, Selangor mempunyai kepentingan strategik kerana negeri berkenaan merupakan antara pusat ekonomi, kewangan dan pentadbiran utama negara.
Beliau turut berkata, PAS akan menyusun strategi dan pendekatan yang bersesuaian dengan perlembagaan parti, undang-undang negara serta prinsip demokrasi bagi menghadapi PRU16.
Sumber: Facebook Shahrul Adnan
