am@hmetro.com.my
Melaka: Guru dihukum penjara 11 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan meliwat tiga pelajar tahfiz, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Aimanuddin Julaihi, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut lapan pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.
Kesalahan dilakukan di beberapa lokasi berasingan termasuk bilik tidur, pejabat, dewan makan, perpustakaan dan lorong sempit sekitar pusat tahfiz pada tarikh dan masa berbeza antara Mei hingga Julai 2025.
Tertuduh turut didakwa atas dua lagi pertuduhan meliwat dua lagi pelajarnya yang masing-masing berusia 14 dan 16 tahun di biliknya pada Julai 2025 kira-kira jam 12 tengah malam dan di perpustakaan kira-kira 8 pagi pada Mei 2025.
Semua 10 pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Dalam rayuannya, Muhammad Aimanuddin yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan mengambil kira dia perlu menyara ibu dan seorang abang yang sakit.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman pemenjaraan panjang terhadap tertuduh atas faktor pertuduhan yang membabitkan tiga mangsa kanak-kanak berbeza.
“Mahkamah serta pendakwaan mempunyai tanggungjawab memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan ini pada masa depan,” katanya.
Dalam penghakimannya, Rohatul menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, manakala penjara 11 tahun dan dua sebatan bagi setiap dua pertuduhan meliwat.
Hukuman penjara bagi semua pertuduhan ditetapkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Ogos lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

