3 serbuan rampas lebih RM1.66 juta, dua pengedar rokok ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Rangkaian penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai tumpas susulan tiga serbuan yang dilaksana di bawah Op Taring Alpha 1, hari ini serta rampasan bernilai lebih RM1.66 juta.

Operasi dijalankan pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman bermula jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, membabitkan serbuan berasingan di Desa Petaling, Kuala Lumpur dan Putra Heights di Subang Jaya, Selangor.

Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dalam serbuan pertama di Desa Petaling, pasukan menahan lelaki tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok dan penjaga stor.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan 553 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, selain sebuah Toyota Rush dan dua telefon bimbit turut disita.

“Serbuan kedua di sekitar Desa Petaling pula membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok.

“Sebanyak 372 karton rokok pelbagai jenama ditemukan bersama sebuah Perodua Alza dan tiga telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal terhadap suspek pertama kemudian membawa pasukan operasi ke sebuah premis di Putra Heights yang dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara rokok tidak bercukai.

“Pemeriksaan di lokasi ketiga itu menemukan 1,190 karton rokok pelbagai jenama, menjadikan keseluruhan 2,115 karton rokok dirampas menerusi ketiga-tiga serbuan.

“Nilai rampasan bagi serbuan pertama adalah RM378,160, diikuti RM310,112 bagi serbuan kedua dan RM811,580 bagi serbuan ketiga,” katanya.

Mohd Zaki berkata, nilai rokok atau barangan rampasan direkodkan sebanyak RM1,499,852, manakala nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk aset berkaitan berjumlah RM1,661,352.

“Siasatan awal mendapati suspek pertama dipercayai terbabit sebagai penghantar rokok selama kira-kira enam bulan, manakala suspek kedua menjalankan aktiviti sama selama kira-kira sembilan bulan.

“Salah satu premis yang diserbu dipercayai berfungsi sebagai lokasi penyimpanan sementara sebelum bekalan rokok diedarkan ke premis sekitar Kuala Lumpur.

“Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan Op Taring Alpha 1 merekodkan 13 kes dengan 17 tangkapan serta nilai rampasan berjumlah RM9,607,255.01.

Bagi tempoh 1 Januari hingga kini, WCB/PSK Bukit Aman melaksana240 serbuan di seluruh negara dengan 413 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste.

Nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh berkenaan dianggarkan RM314,185,251.64, katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top