Waspada, 'Noor Akmal' bukan pegawai khas Nancy Shukri

mdroji@bh.com.my

Kuching: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai pegawainya.

Nancy berkata, beliau dimaklumkan pegawai rasminya mengenai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam kerja kesukarelawanan telah dihubungi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Noor Akmal’ dan ‘Pegawai Khas YB Nancy’.

“Saya hairan apabila sejak kebelakangan ini semakin ramai pihak cuba menyamar menggunakan nama ‘Nancy Shukri’ atau mendakwa sebagai ‘Pegawai Nancy Shukri’.

“Individu itu meminta pihak NGO berkenaan menyediakan ‘Kertas Kerja’ dan menyatakan dokumen itu perlu melaluinya terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada saya,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Nancy berkata, perkara itu menjadi lebih membimbangkan apabila individu terbabit turut meminta wakil NGO berkenaan yang juga seorang wanita untuk bertemu secara peribadi dengannya di dalam kenderaan.

Katanya, beliau bersyukur apabila wakil NGO terbabit mengambil langkah berhati-hati dan meminta supaya sebarang pertemuan diadakan di tempat terbuka.

Katanya, tindakan itu wajar bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, terutama ketika kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual semakin meningkat.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada kakitangan saya atau bekas kakitangan saya yang bernama ‘Noor Akmal’,” katanya.

Beliau meminta orang ramai untuk sentiasa berwaspada sekiranya menerima panggilan, mesej atau sebarang bentuk komunikasi daripada individu yang mengaku sebagai pegawai, kakitangan atau wakilnya.

Nancy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan dokumen, maklumat atau membuat sebarang urusan rasmi berdasarkan arahan individu yang identitinya tidak dapat disahkan.

Katanya, sebarang urusan berkaitan dirinya atau pejabatnya hendaklah dibuat menerusi saluran rasmi bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan atau penyamaran.

“Jangan mudah terpedaya. Pastikan setiap urusan rasmi dibuat melalui saluran yang betul,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat pengesahan mengenai sebarang urusan atau individu yang mengaku sebagai wakil Nancy boleh menghubungi pejabatnya di talian 012-5075861.

Pada masa sama beliau mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya diminta mengadakan pertemuan secara peribadi, khususnya di lokasi tertutup atau dalam kenderaan oleh individu yang mendakwa mempunyai kaitan dengan pejabatnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top