SHAH ALAM – Anak perantau Pahang di Lembah Klang diseru untuk tidak melepaskan peluang menghadiri program Town Hall Rakyat yang akan berlangsung di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat ini.
Program eksklusif dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang itu bakal menampilkan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib sebagai tetamu khas, sekali gus menandakan kemunculan sulung beliau di platform berkenaan.
Pengurus Besar Pengiklanan Sinar Karangkraf, Airol Fadley Limin berkata, program tersebut memberi peluang kepada anak perantau mendapatkan penjelasan secara terus mengenai perkembangan dan perancangan negeri kelahiran mereka.
“Fokus utama kita mengetengahkan input positif dan perspektif rakyat terhadap kerajaan negeri Pahang khususnya daripada sudut pelaburan, perindustrian, teknologi dan sains.
“Jadi suara dan input daripada anak tempatan dapat didengari serta dipertimbangkan kerajaan negeri. Ia juga menjadi medan terbaik buat Datuk Mohamad Nizar berkongsi naratif dan dasar yang dibawakan kerajaan secara terus kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Airol Fadley
Town Hall Rakyat mula diperkenalkan Sinar Harian pada 6 Mac 2023 sebagai platform interaktif yang membolehkan rakyat bersemuka serta mengemukakan soalan kepada tokoh dan pemimpin negara.
Edisi sulung menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital ketika itu, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebagai tetamu dan diteruskan dengan menteri Kabinet serta pemimpin lain termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Mengulas lanjut, Airol Fadley berkata, anak perantau perlu mengambil tahu perkembangan di negeri kelahiran mereka memandangkan pelbagai dasar dan pembaharuan kerajaan negeri turut memberi manfaat kepada rakyat yang berada di luar Pahang.
Kata beliau, Sinar Harian menyasarkan kehadiran antara 200 hingga 300 anak perantau dan anak jati Pahang pada program berkenaan, selain mengalu-alukan penyertaan rakyat negeri itu yang menetap di sekitar Lembah Klang seperti Melaka dan Negeri Sembilan.
Airol Fadley menambah, sambutan terhadap Town Hall Rakyat sebelum ini membuktikan keberkesanan pendekatan berkenaan dalam merapatkan jurang antara pemimpin dengan rakyat apabila program di Pahang bersama Wan Rosdy berjaya menarik kira-kira 1,000 hingga 1,100 peserta.
Katanya, program itu membolehkan rakyat bersemuka dengan pemimpin negeri, mengemukakan persoalan serta mendapatkan jawapan secara langsung.
“Pendekatan ini selari dengan peranan Sinar Harian sebagai media yang membawa suara rakyat dan menjadi jambatan antara masyarakat dengan kerajaan,” ujarnya.
Program yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam itu dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian akan dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim.
Ia dijangka turut dihadiri sebahagian barisan Exco Pahang, ketua-ketua jabatan, pemain industri serta tokoh korporat negeri itu.