AS tetapkan pelucutan senjata Hamas dalam tempoh sebulan

WASHINGTON: Kemajuan usaha melucutkan senjata Hamas dan melaksanakan pelan damai Gaza dijangka boleh dimulakan dalam tempoh sebulan, kata utusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jared Kushner.

Kushner berkata, langkah itu termasuk usaha mengeluarkan sebahagian senjata Hamas dan menimbus terowong kumpulan berkenaan.

“Kita mungkin akan melihat kemajuan dalam tempoh 30 hari sahaja, mudah-mudahan bermula dengan mengeluarkan sebahagian senjata dan menimbus terowong-terowong,” katanya kepada Fox News ketika berada di Tel Aviv.

Kenyataan itu dibuat selepas Kushner mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Kedua-duanya bersetuju bahawa seorang jeneral AS akan mengesahkan proses pelucutan senjata Hamas, menurut seorang pegawai Israel.

Netanyahu pada masa sama menegaskan Israel tidak akan berundur dari Gaza sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.

Persetujuan itu dilihat sebagai usaha terbaharu pentadbiran Trump untuk mendapatkan sokongan Israel terhadap pelan AS bagi menamatkan perang di Gaza.

Netanyahu sebelum ini secara terbuka menolak bahagian terbaharu pelan berkenaan ketika berdepan tekanan politik menjelang pilihan raya.

Kushner, yang juga menantu Trump dan kenalan lama keluarga Netanyahu, bertemu pemimpin Israel itu di Baitulmaqdis sehari selepas mengadakan rundingan secara langsung dengan Hamas di Mesir.

Hamas sebelum ini menyatakan komitmen terhadap pelan tersebut.

Menurut pegawai kanan Israel, kedua-dua pihak bersetuju bahawa tiada penempatan semula atau pembinaan semula akan dilaksanakan di Gaza sebelum Hamas dilucutkan senjata di seluruh wilayah itu.

“Turut dipersetujui bahawa langkah pertama ke arah demiliterisasi Semenanjung Gaza adalah dengan mewajibkan Hamas menyerahkan senjatanya untuk dilucutkan daripada kegunaan di bawah pengawasan seorang jeneral Amerika,” kata pegawai berkenaan.

Pelan hala tuju yang dipersetujui Hamas pada 30 Julai menetapkan proses pelucutan senjata itu akan dipantau oleh Pasukan Penstabilan Antarabangsa, unit baharu yang dirancang untuk ditempatkan di Gaza sekiranya keadaan kembali reda. Pasukan itu diketuai Mejar Jeneral AS, Jasper Jeffers.

Hamas sebelum ini berjanji menyerahkan senjatanya kepada badan pentadbiran baharu Palestin, satu pengaturan yang menimbulkan keraguan dalam kalangan pimpinan Netanyahu, namun disifatkan Trump sebagai satu perkembangan penting.

Seorang pegawai daripada Lembaga Keamanan Trump yang bertanggungjawab melaksanakan perjanjian itu berkata, setiap senjata yang dikumpulkan akan dilucutkan sepenuhnya supaya tidak boleh digunakan lagi, sambil menegaskan Israel kekal mempunyai hak penuh untuk mempertahankan diri.

“Jika Hamas kembali melakukan keganasan, tindakan keganasan atau cuba mempersenjatai semula, Israel kekal mempunyai hak untuk bertindak sewajarnya,” katanya.

Antara anggota Lembaga Keamanan lain yang menyertai Kushner dalam rundingan itu ialah bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Dalam rundingan di Mesir, Kushner dilaporkan menuntut Hamas membuktikan kesediaannya menyerahkan senjata serta mengetepikan sebarang peranan pada masa depan dalam pentadbiran wilayah Palestin itu.

Menurut sumber yang terlibat dalam rundingan, Kushner turut menuntut Hamas meninggalkan sebarang usaha untuk kembali mentadbir Gaza.- AFP

Scroll to Top