Manchester: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes terus menjadi buruan beberapa kelab Eropah apabila Galatasaray, Atletico Madrid, Juventus dan AC Milan dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain tengah Portugal itu.
Fernandes kini memasuki tahun terakhir kontraknya di Old Trafford, namun Manchester United mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian berkenaan selama setahun lagi.
Galatasaray dilaporkan antara kelab yang paling serius memburu Fernandes dan bersedia menawarkan pakej lumayan bagi memujuk pemain berusia 31 tahun itu meninggalkan Manchester.
Kelab Turkiye itu dikatakan sanggup menggandakan pendapatan Fernandes sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan khidmatnya.
Selain Galatasaray, Atletico Madrid, Juventus dan AC Milan turut dilaporkan sedang memantau situasi pemain berkenaan ketika jendela perpindahan musim panas semakin menuju penghujung.
Namun, Manchester United dilaporkan tidak berminat melepaskan kapten mereka dan bersedia menolak sebarang tawaran yang dikemukakan.
Situasi itu menjadi lebih jelas selepas klausa pelepasan antarabangsa bernilai £57 juta (RM321 juta) dalam kontrak Fernandes dilaporkan sudah tamat tempoh bulan lalu, sekali gus memberikan United kawalan lebih besar terhadap masa depan pemain berkenaan.
Fernandes juga tidak menunjukkan tanda mahu meninggalkan Old Trafford dan kekal sebagai antara pemain paling penting dalam skuad kendalian Michael Carrick.
Musim lalu, pemain Portugal itu tampil cemerlang apabila mencipta rekod Liga Perdana Inggeris dengan 21 bantuan gol, selain membantu United menamatkan saingan di tempat ketiga dan kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara.
Prestasi berkenaan menjadikan Fernandes antara tonggak utama United dalam usaha mereka kembali mencabar kelompok teratas Liga Perdana selepas beberapa musim yang mengecewakan.
Minat daripada kelab luar bagaimanapun memberi tekanan tambahan kepada United untuk memastikan masa depan kapten mereka diselesaikan, terutama ketika jendela perpindahan musim panas memasuki fasa terakhir.
Fernandes sebelum ini turut menjadi sasaran kelab Arab Saudi, namun United kini dilaporkan bertegas untuk mengekalkan pemain yang menjadi nadi utama pasukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
