Cina Kelantan tak minat berjudi di kedai, isteri marah – Hilmi Abdullah

Cina Kelantan tak minat berjudi di kedai, isteri marah – Hilmi Abdullah

Pemimpin Kelantan berpandangan masyarakat bukan Islam di negeri itu sudah mampu menjalani kehidupan seharian tanpa kewujudan premis perjudian, susulan larangan pembukaan kedai judi yang telah dilaksanakan sejak lebih 36 tahun lalu.

Cina Kelantan tak minat berjudi di kedai, isteri marah – Hilmi Abdullah

Memetik laporan malaysiakini, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, masyarakat Cina dan bukan Islam di Kelantan dilihat semakin tidak berminat dengan aktiviti perjudian, termasuk yang dijalankan di premis fizikal.

Menurutnya, penglibatan dalam kegiatan tersebut juga berpotensi menimbulkan konflik dalam keluarga dan masalah domestik.

“Cina Kelantan sudah tidak minat berjudi di kedai, isteri marah,” katanya secara berseloroh ketika memberikan respons ringkas, semalam.

Adun Guchil itu berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan pakar undang-undang berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes kerajaan Kedah yang mencabar isu penghentian operasi premis perjudian berlesen di negeri berkenaan.

Keputusan tersebut dikhuatiri mempunyai implikasi lebih luas terhadap negeri lain termasuk Kelantan.

Menurut pakar undang-undang, Zulqarnain Lukman, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu antara lain memperincikan bahawa kawal selia aktiviti perjudian tertakluk kepada Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953, yang kedua-duanya merupakan undang-undang Persekutuan.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Zulqarnain menjelaskan kuasa negeri untuk mengeluarkan lesen premis perjudian adalah kuasa yang bersifat derivatif daripada bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

“Yang ralatnya, atas tindakan Sanusi itu, kes berkenaan dibawa ke mahkamah dan ruling mahkamah itu akan terpakai di negeri Kelantan.
“Sekarang ini jika ada mana-mana orang bukan Islam ingin membuka kedai judi di Kelantan maka PBT (pihak berkuasa tempatan) Kelantan mahu tidak mahu mesti membenarkan premis judi dibuka di Kelantan,” jelasnya.

Zulqarnain merujuk kepada keputusan kerajaan Kedah bersama Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor, untuk menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian di negeri itu berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Bagaimanapun, lesen perniagaan bagi syarikat perjudian atau agensi nombor ramalan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Keadaan itu menimbulkan isu perundangan apabila syarikat perjudian mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti mereka, namun pada masa sama memerlukan lesen premis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi beroperasi.

Sementara itu, Adun Chempaka, Nik Baharum Nik Abdullah tidak sependapat dengan dakwaan bahawa keputusan kes Kedah akan secara automatik memberi kesan kepada Kelantan.

Katanya, asas dan fakta dalam kes Kedah adalah berbeza daripada kes yang pernah berlaku di Kelantan, justeru setiap kes perlu dinilai berdasarkan merit tersendiri.

“Dalam kes spesifik di Kedah itu saya tidak bersetuju dengan pandangan rakan saya (Zulqarnain) bahawa ia akan memberi kesan kepada Kelantan. Setiap kes berdasarkan merit masing-masing,” katanya.

Nik Baharum yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, Kelantan sebelum ini pernah berdepan tindakan mahkamah berkaitan operasi premis perjudian ketika Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan ketika itu memutuskan memihak kepada kerajaan Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Secara berseloroh, Nik Baharum berkata istilah seperti Toto dan Magnum kini mempunyai makna berbeza dalam kehidupan masyarakat Kelantan.

Katanya, Toto lebih dikenali sebagai alas tidur, manakala Magnum pula dikaitkan dengan jenama ais krim.

“Tidak ada sebab untuk bawa budaya tidak elok kembali semula. Ya, tidak akan berlaku (jika PAS masih memerintah Kelantan),” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi, melahirkan rasa dukacita terhadap kewujudan segelintir umat Islam yang menyokong usaha menormalisasikan perjudian serta memperlekehkan langkah kerajaan Kedah dalam menyekat aktiviti tersebut.

Beliau berkata, sekiranya tindakan berhubung premis perjudian dinilai hanya berdasarkan kepentingan politik, keputusan untuk menutup atau mengehadkan operasi kedai judi sememangnya bukan pilihan yang memberi keuntungan kepada PAS.

Namun begitu, katanya, PAS tetap memilih untuk mempertahankan pendirian yang dianggap benar walaupun tindakan berkenaan berkemungkinan membawa risiko politik.

“Namun PAS memilih untuk melakukan perkara yang diyakini benar walaupun berisiko dari sudut politik.
“Ini kerana yang diperjuangkan PAS bukan soal undi semata-mata tetapi soal menyelamatkan masyarakat daripada satu aktiviti yang terbukti membawa kerosakan.
“Ada yang bertanya, mana nas yang suruh tutup kedai judi untuk bukan Islam? Jawapannya mudah. Nas yang menyebut tentang arak dan judi adalah merujuk kepada kesan mudarat.
“Semua ini diharamkan dan dikawal kerana kemudaratannya terbukti kepada manusia dan masyarakat. Mengaut keuntungan atas kemudaratan masyarakat adalah suatu yang merosakkan,” tambahnya lagi.

Dalam isu sama, lesen perniagaan syarikat perjudian atau agensi nombor ramalan kekal di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Tindakan kerajaan Kedah menghentikan pengeluaran lesen premis pula mencetuskan pertikaian apabila syarikat terbabit masih mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti perjudian, tetapi berdepan kekangan mendapatkan lesen premis daripada PBT.

Susulan itu, pengendali nombor ramalan membawa isu tersebut ke Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar kesahan arahan kerajaan negeri.

Pada Jun 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada syarikat berkenaan, antara lain atas alasan tindakan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Kerajaan Kedah kemudiannya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan, namun keputusan berkenaan turut tidak memihak kepada kerajaan negeri.

Antara pertimbangan hakim ialah arahan tersebut tidak dibuat semata-mata atas dasar ketidaksetujuan kerajaan negeri terhadap kegiatan perjudian.

Kerajaan Kedah seterusnya meneruskan cabaran ke Mahkamah Persekutuan dengan memohon kebenaran untuk merayu keputusan mahkamah sebelum ini, namun usaha tersebut sekali lagi tidak berjaya.

Artikel lain: Tanpa diskriminasi, PAS Kelantan bukti pentadbiran adil untuk semua – Mohd Amar

Bagaimanapun, keputusan berkenaan tidak bermaksud Mahkamah Persekutuan mengarahkan supaya kegiatan perjudian diwajibkan beroperasi di Kedah.

Sebaliknya, penghakiman tersebut lebih menjurus kepada penentuan bidang kuasa serta pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam mengawal selia aktiviti perjudian.

Sumber: malaysiakini (N Faizal Ghazali)

Scroll to Top