KPM serah kepada JPN, PPD kendali kes guru pukul ibu, anak di Pasir Mas

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengendali kes melibatkan seorang guru di Pasir Mas yang didakwa memukul ibu dan anak baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, beliau masih belum dapat memberikan sebarang komen kerana baru menerima maklumat mengenai perkara berkenaan.

“Saya pasti JPN, PPD dan sekolah akan mengambil tindakan yang mengikut peraturan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas tindakan seorang guru di Pasir Mas yang didakwa memukul ibu kepada seorang murid menggunakan tongkat semasa sesi perbincangan di pejabat sekolah baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau hadir ke Majlis Penyerahan Bas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini hari ini.

Utusan Malaysia 13 Ogos lalu melaporkan, seorang guru di sebuah sekolah kebangsaan di sini direman tiga hari bermula hari ini selepas didakwa memukul ibu kepada seorang murid menggunakan tongkat semasa sesi perbincangan di pejabat sekolah.

Dalam kejadian itu, guru berusia 54 tahun didakwa memukul wanita berkenaan menggunakan tongkat di bahagian peha mangsa.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 42 tahun berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.43 pagi semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati pengadu telah menerima aduan anaknya diketuk pada bahagian kepala menggunakan tongkat oleh suspek semasa berada di sekolah tanpa mengetahui punca guru itu bertindak sedemikian.-UTUSAN

Scroll to Top