Demi baiki sistem cukai, kerajaan terbuka kaji gabungan ciri SST dan GST -PM Anwar

Demi baiki sistem cukai, kerajaan terbuka kaji gabungan ciri SST dan GST -PM Anwar

Kerajaan terbuka untuk mengkaji penambahbaikan sistem percukaian termasuk kemungkinan menggabungkan ciri tertentu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Terbuka kaji dan baiki

Memetik laporan daripada Buletin TV3, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, kerajaan bagaimanapun tidak akan berkompromi terhadap prinsip untuk tidak mengenakan cukai secara menyeluruh ke atas rakyat.

“Untuk GST, SST, seperti mana yang saya sebut tadi, kita terbuka untuk kaji, untuk perbaiki sistem percukaian. Tapi kalau nak bercakap pasal GST sahaja, saya punya kebimbangan, seperti yang saya lahirkan berulang kali, ini nak cukai rakyat.
“Maknanya orang yang tak pernah bayar cukai, mesti bayar. Mana kita nak jawab dalam keadaan sekarang? Dengan kos sara hidup, beban rakyat. Sebab itu kita guna pangkal SST, tetapi kalau ada beberapa penyesuaian, boleh kita lakukan,” katanya.

Demi baiki sistem cukai, kerajaan terbuka kaji gabungan ciri SST dan GST -PM Anwar

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Sedia terima beberapa ciri GST

Tambah Anwar, kerajaan bersedia menerima beberapa ciri GST sekiranya ia sesuai untuk dilaksanakan dalam sistem sedia ada.

“Saya dah sebut tadi, pangkalnya masih SST. Tapi kalau ada beberapa ciri yang boleh kita terima, kita terima.
“Saya tidak mahu cukai ke atas rakyat secara menyeluruh, seperti mana pangkal pandangan dalam GST. GST itu ‘broad-based tax’, kita cukai semua rakyat. Saya tak setuju,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan akan turut mengambil kira inisiatif bagi kumpulan masyarakat berpendapatan sederhana (M40) dalam Belanjawan 2027, Anwar berkata perkara itu antara keutamaan pihaknya.

“Kita ada senarai hal-hal yang telah kita beri keutamaan untuk meringankan beban M40,” katanya.

Terdahulu, pada pembukaan majlis, Amir Hamzah memaklumkan kerajaan kekal memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan memperluas peluang pekerjaan berkualiti.

Katanya, cabaran kos sara hidup akan ditangani menerusi pendekatan yang bersasar dan mampan.

Untuk rekod, pembentangan Belanjawan 2027 dijadualkan diadakan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober depan.

Sumber: Buletin Tv3 (Syafiqah Damanhuri)

Scroll to Top