[VIDEO] Tiada istilah ‘tikam belakang’, hanya strategi untuk menang – Ahmad Maslan

[VIDEO] Tiada istilah ‘tikam belakang’, hanya strategi untuk menang – Ahmad Maslan

BUTTERWORTH – UMNO menegaskan tindakan parti mengambil langkah strategik dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) bukan bermaksud ‘tikam belakang’ mana-mana pihak sebaliknya usaha memastikan kemenangan parti khususnya di negeri yang tidak mempunyai perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, tiada perjanjian antara UMNO dan PH di peringkat negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sekali gus membolehkan pucuk pimpinan menentukan strategi terbaik bagi memaksimumkan kemenangan parti.

“Pucuk pimpinan perlu memilih kaedah untuk kemenangan yang maksimum, bukan kekalahan. Kalau kita tidak mengambil langkah strategik di Negeri Sembilan, BN kalah.

“Mana parti yang ingin kalah? Itu langkah strategik yang diambil untuk menang,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kontraktor 2026 di Pusat Konvensyen Picca di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan Kongres Nasional Keadilan 2026 yang berlangsung di Melaka hujung minggu lalu menjadi medan perwakilan PKR untuk mengkritik UMNO susulan kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan yang didakwa tidak jujur selain diibaratkan sebagai ‘menikam dari belakang’ PKR.

Beberapa perwakilan menjadikan isu kerjasama PKR menerusi PH dengan UMNO-BN dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak diterjemahkan dalam pilihan raya, terutama di Johor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan prestasi gabungan PH menjunam.

Tambah Ahmad, perkara sama turut terpakai di Sarawak dan Sabah yang juga tidak mempunyai perjanjian dengan PH di peringkat negeri.

[VIDEO] Tiada istilah ‘tikam belakang’, hanya strategi untuk menang – Ahmad Maslan

Ahmad Maslan

“Di Melaka juga tidak ada perjanjian. Kita tunggulah keputusan.

“Minggu depan, 28 Ogos, kita ada mesyuarat MKT dan tentunya perkara ini akan dibincangkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, PH perlu memahami bahawa perjanjian penting antara parti adalah di peringkat Pusat dan UMNO-BN kekal mematuhinya.

“Perjanjian kita yang penting di Pusat dan kita memenuhi perjanjian itu.

“Presiden dan Pengerusi BN juga berulang kali menyatakan bahawa kita akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal kerana kita telah menandatangani perjanjian,” katanya.

Menurutnya, tiada asas untuk menuduh UMNO melakukan pengkhianatan sekiranya parti mengambil langkah strategik di peringkat negeri tanpa melanggar sebarang perjanjian.

“Apabila kita ingin menang dan tidak mahu kalah, langkah strategik yang diambil dan kita tidak melanggar sebarang perjanjian di negeri, kenapa perlu dipertikai?

“Sepatutnya mereka tidak pertikai perkara itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan istilah ‘tikam belakang’ tidak wajar digunakan terhadap tindakan strategik parti kerana setiap parti turut mempunyai pendekatan masing-masing bagi memastikan kelangsungan politik mereka.

“Sebenarnya istilah langkah strategik ini tidak boleh disebut tikam belakang. Langkah strategik yang diambil untuk survival parti.

“Mereka juga membuat langkah strategik untuk survival parti,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh keputusan DAP yang mengadakan pengundian dalam kongres parti berhubung pendirian untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, keputusan DAP mengadakan pengundian itu juga merupakan langkah strategik parti dalam menangani ahli yang mempunyai pendirian berbeza.

“Itu juga langkah strategik mereka. Langkah strategik mereka kepada ahli yang mempertikaikan mereka maka langkah strategiknya ialah mengadakan pengundian di kongres.

“Kita juga mengambil langkah strategik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, UMNO perlu memilih strategi yang mampu memastikan kemenangan khususnya di Negeri Sembilan bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu.

“Kalau Melayu berpecah dan tiga penjuru di Negeri Sembilan, UMNO-BN kalah.

“Maka kita mesti memilih jalan menang. Langkah strategik, bukan tikam belakang,” katanya.

Scroll to Top