Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tiada kekosongan berlaku bagi jawatan berkenaan.
Foto: Free Malaysia Today
Setiausaha Dewan, Raja Norazli Raja Nordin berkata, Tuanku Muhriz dipilih oleh para Undang sebelum dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-11 pada 29 Disember 2008.
Baginda kemudiannya ditabalkan secara rasmi pada 26 Oktober 2009 mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) dan terus memegang jawatan berkenaan, selain bertindak sebagai Yang Dipertua Dewan di bawah Perkara 19.
Menurut Raja Norazli, UUTKNS 1959 menetapkan proses tertentu yang perlu dipatuhi sekiranya jawatan Yang di-Pertuan Besar hendak dikosongkan.
“UUTKNS 1959 memperuntukkan satu-satunya cara yang sah bagi jawatan tersebut menjadi kosong, jika dikatakan bahawa para Undang telah menyeru Duli Yang Maha Mulia supaya berundur atau turun takhta, Perkara 10 mensyaratkan penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya oleh para Undang; suatu penentuan bahawa wujud alasan yang dinyatakan dalam Perkara 10 tersebut.
“Pelaksanaan kuasa itu oleh orang-orang yang memegang jawatan Undang secara sah dalam bilangan yang dikehendaki oleh Perkara 29 dan suatu proklamasi di bawah Perkara 10(2),” katanya dalam perutusan rasmi, hari ini.
Beliau berkata, tiada satu pun daripada syarat berkenaan telah dipenuhi, sekali gus menyaksikan Tuanku Muhriz terus menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar sejak 19 April lalu.
Dewan juga, katanya, terus bersidang dengan baginda sebagai Yang Dipertua.
“Tempoh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz memegang jawatan tersebut hanya boleh ditamatkan menurut cara yang diperuntukkan oleh UUTKNS 1959.
“Dewan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Norazli turut menafikan berlaku campur tangan Tuanku Muhriz dalam urusan Luak Sungei Ujong ketika sesi persidangan pada 17 April lalu.
Menurutnya, rekod Dewan menunjukkan perkara yang dibawa dalam persidangan berkenaan adalah aduan wakil Telaga Undang Luak Sungei Ujong, iaitu Ibu Soko dan Waris Klana Hulu.
“Mereka telah memberhentikan Mubarak Thahak @ Dohak daripada jawatan Undang menurut adat Luak tersebut, melalui surat pemberhentian yang diserahkan pada 13 Mei 2025.
“Tuanku Muhriz dengan jelas menegaskan bahawa kuasa adat untuk memilih, melantik dan memberhentikan Undang terletak pada Luak itu sendiri di bawah Perkara 14(1) dan (3), dan bahawa mana-mana Ahli Dewan, ‘termasuk Tuanku sendiri’, tidak mempunyai kuasa untuk menyokong atau menolak keputusan Luak sedemikian,” jelasnya.
Jelas beliau, Dewan kemudiannya menerima pemberhentian tersebut sebagai keputusan yang dibuat oleh Luak mengikut adatnya sendiri di bawah Perkara 14(3).
“Pandangan Ahli-Ahli diminta sebelum kesimpulan itu dicapai dan minit merekodkan bahawa tiada bantahan seterusnya daripada Ahli-Ahli apabila Tuanku Muhriz selaku Yang Dipertua Dewan mengumumkan keputusan Dewan untuk menerima pemberhentian tersebut,” ujarnya.
Raja Norazli menegaskan Dewan mahupun Tuanku Muhriz tidak memberhentikan mana-mana Undang, sebaliknya Dewan hanya menerima keputusan yang telah dibuat oleh Luak.
“Maka, sidang pada 17 April bukanlah suatu campur tangan dalam urusan Luak, malah sebaliknya. Ia merupakan Dewan menjalankan fungsinya sebagaimana yang dikehendaki oleh Perkara 16, iaitu menerima dan memberi nasihat berhubung keputusan yang telah pun dibuat oleh Luak menurut adat,” kongsinya.
Dalam masa sama, Dewan mengekalkan keputusannya pada 31 Julai 2026 bahawa dokumen bertarikh 19 April 2026 tidak mematuhi Perkara 10, tidak berperlembagaan serta tidak mempunyai apa-apa kesan.
DKU turut menegaskan tiada proses sah yang menyebabkan Tuanku Muhriz terhenti daripada memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Sehubungan itu, Dewan terus mengiktiraf baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertua Dewan di bawah Perkara 19 serta tidak mengiktiraf sebarang kekosongan atau individu lain sebagai pemegang jawatan tersebut.
Raja Norazli berkata, Dewan turut menyeru semua penjawat awam negeri dan Persekutuan supaya terus mentadbir negeri berdasarkan undang-undang serta rantaian perintah yang sah.
“Semua pihak juga diminta supaya menghormati prosiding di hadapan mahkamah, memelihara ketenteraman awam dan tidak menjadikan adat sebagai alasan untuk mengetepikan UUTKNS 1959,” tambahnya lagi.
Sumber: Harian Metro




