Malaysia-Filipina percepatkan penghantaran pulang lebih 5,000 PATI – Mohamad

MANILA – Malaysia dan Filipina pada Selasa membincangkan langkah mempercepat proses penghantaran pulang lebih 5,000 pendatang tanpa izin dari Filipina yang berada di empat pusat tahanan di Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, saringan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur telah mengenal pasti lebih 1,000 individu daripada jumlah itu yang boleh dihantar pulang.

“Jadi kita berbincang tadi bagaimana untuk mempercepat proses menghantar pulang pendatang tanpa izin dari Filipina oleh kerajaan negara itu melalui jalan laut atau apa jua cara.

“Pusat tahanan ini sudah tidak mampu menampung jumlah tahanan yang begitu ramai,” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Filipina kesembilan di Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina di sini pada Selasa.

Mohamad berkata, Malaysia mahu kerajaan Filipina mengambil tindakan segera bagi membawa pulang tahanan tersebut ke negara asal manakala proses saringan bagi kumpulan seterusnya akan diteruskan.

Selain itu, Mohamad berkata, kedua-dua negara turut membincangkan isu pendidikan anak warga Filipina di Sabah, dengan Malaysia bersetuju untuk melihat keperluan menyediakan kelas pembelajaran bagi membolehkan mereka meneruskan pendidikan sebelum dihantar pulang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang kemudahan pendidikan itu perlu diuruskan oleh kerajaan Filipina bagi memastikannya dikawal selia dengan baik.

“Kita tidak mahu ada sekolah persendirian ditubuhkan dan kemudiannya tidak dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, berhubung isu tuntutan Sabah oleh pihak tertentu di Filipina, Mohamad berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara langsung dalam JCM, namun meminta negara itu menghormati undang-undang dan pengiktirafan antarabangsa bahawa Sabah sebahagian daripada Malaysia.

“Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian daripada Malaysia. Jadi tidak timbul isu untuk mereka mengatakan Sabah bukan wilayah Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Mohamad mempengerusikan JCM bersama-sama Setiausaha Luar Filipina Ma. Theresa P Lazaro. – Bernama

Scroll to Top