Empat juta senjata api haram di Thailand

BANGKOK: Adalah dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 kes kematian berkaitan senjata api berlaku setiap tahun di Thailand.

Sebagai perbandingan, Bri­tain yang mempunyai jumlah populasi yang hampir sama hanya mencatatkan kurang 50 kes setahun.

Kes kematian akibat senjata api di Thailand kerap berlaku berpunca daripada perbalahan domestik, perselisihan kewangan atau pergaduhan di pusat hiburan akibat pengaruh alkohol.

Pada awal bulan ini, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun membunuh datuk dan nenek­nya di wilayah Nonthaburi. 

Remaja itu kemudian me­nembak mati enam lagi orang di sebuah sekolah dengan senjata api milik datuknya sebelum membunuh diri.

Selepas kejadian itu, data jumlah senjata api didedahkan. Adalah  dianggarkan terdapat lebih 10 juta senjata api milik awam beredar di Thailand. Sebanyak empat  juta daripadanya merupakan senjata haram tanpa lesen. 

Lambakan senjata ini meng­akibatkan perselisihan kecil berupaya meragut nyawa dalam sekelip mata.

“Ia amat malang kerana masyarakat Thailand mempunyai tahap toleransi yang sangat tinggi terhadap keganasan,” kata penyelidik dari Institut Penyelidikan Pemba­ngunan Thailand, Boonwara Sumano. 

Terdapat juga satu skim kerajaan yang membolehkan anggota polis dan pegawai kerajaan lain membeli senjata api pada harga diskaun yang sangat tinggi.

Kira-kira 200,000 senjata api diimport setiap tahun, keba­nyakannya dari Amerika Syarikat (AS)  di bawah skim yang diperkenalkan pada 2009 itu.

Senjata api tersebut kemudian boleh dijual semula selepas lima tahun, yang telah menjadi satu perniagaan menguntungkan.

Skim itu telah beberapa kali disiasat berhubung dakwaan rasuah. 

Ia melibatkan buatan tempatan oleh pembuat senjata api tanpa lesen. Skim tersebut dipercayai menjadi sumber kepada banyak senjata api di pasaran gelap Thailand.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, telah mengarahkan langkah segera untuk memperketat kawalan senjata api. Ia termasuk menggantung skim pembelian senjata api pada harga diskaun dan pengeluaran semua lesen pembeliannya. – AGENSI

Scroll to Top