KUALA LUMPUR – Peneraju fintech serantau dan bank digital, Boost melancarkan platform perbankan perniagaan digital sepenuhnya yang menghimpunkan perkhidmatan perbankan, pembayaran dan pembiayaan dalam satu ekosistem bagi memudahkan pengurusan kewangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikenali Boost SME.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, platform itu dibangunkan bagi mengurangkan kerumitan yang dihadapi pemilik perniagaan dalam menguruskan pembayaran, penyelesaian transaksi dan pembiayaan.
“Seiring perkembangan ekonomi digital Malaysia, perniagaan memerlukan perkhidmatan kewangan yang berfungsi secara lancar dan saling melengkapi, bukannya secara berasingan.
“Di Boost, kami berhasrat mengurangkan kerumitan dalam setiap interaksi kewangan dengan menjadikan perbankan, pembayaran dan pembiayaan lebih mudah, bersepadu dan mudah diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Boost SME di KL Sentral pada Selasa.
Sebelum itu, majlis pelancaran turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Menurutnya, Boost SME merupakan evolusi Boost daripada penyedia e-dompet dan pinjaman digital kepada ekosistem kewangan digital bersepadu yang memberi tumpuan kepada keperluan PKS.
“Dalam usaha kami untuk terus membangunkan ekosistem kewangan digital Malaysia, kami kekal fokus dalam memperkasakan perniagaan melalui teknologi yang mudah diakses, intuitif dan direka bentuk mengikut keperluan mereka yang sentiasa berubah,” ujarnya lagi.
Platform itu mengurangkan keperluan dokumentasi, kerumitan dan kelewatan yang tidak wajar menerusi proses pendaftaran digital sepenuhnya, membolehkan perniagaan membuka akaun sepantas lima minit sahaja.
Tersedia melalui aplikasi web dan mudah alih, platform itu memberikan PKS pandangan menyeluruh mengenai kewangan mereka, sekali gus membolehkan penerimaan pembayaran selamat, pengurusan akaun berasaskan peranan serta penyelesaian DuitNow QR (DNQR) pada hari sama, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum Malaysia.
Pemilik PKS juga boleh menerima pembayaran melalui DNQR, pembayaran dalam talian dan pembayaran kad di premis.
Selain itu, Boost SME menyediakan kemudahan penerimaan pembayaran melalui DNQR, pembayaran dalam talian dan kad di premis.
Boost Grow direka untuk perniagaan yang ingin memaksimumkan dana lebihan dengan mengoptimumkan penggunaan lebihan tunai. Perniagaan boleh memperoleh faedah harian sebanyak 3.0 peratus setahun, tanpa tempoh terkunci atau keperluan baki minimum.
Boost Flow pula menawarkan rebat jualan 0.1 peratus bagi jualan bulanan sehingga RM2,000, selain Merchant Cash Advance menawarkan had kredit bermula daripada RM10,000 bagi perniagaan yang merekodkan transaksi sekurang-kurangnya RM2,000 dalam tempoh 30 hari sebagai peniaga Boost.
Dalam pada itu, PKS turut boleh mendapatkan akses kepada Biz Loan Boost Bank dengan pembiayaan sehingga RM300,000, kelulusan seawal 10 minit dan penyaluran dana sepantas 24 jam selepas pembiayaan diterima.
Usaha pendigitalan PKS turut disokong menerusi langganan AWS e-Invoicing dan latihan secara percuma bagi peniaga yang layak serta peranti Soundbox Lite secara percuma, tertakluk kepada ketersediaan stok.
Untuk mendaftar, sila layari: www.myboostsme.co atau muat turun aplikasi Boost SME melalui Apple App Store atau Google Play Store.
