AUKU: Kerangka baharu mesti perkasa autonomi universiti, kebebasan akademik – Adam Adli

KUALA LUMPUR – Kerangka undang-undang baharu susulan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu memperkasakan autonomi universiti dan kebebasan akademik serta tidak mengulangi kelemahan undang-undang berkenaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata, kerangka baharu itu perlu membawa pembaharuan dalam pelbagai aspek, termasuk memastikan penglibatan mahasiswa yang lebih bermakna dalam tadbir urus institusi pengajian tinggi.

“Kita harus betul-betul pastikan bahawa kita boleh capai satu perubahan dan reformasi seperti yang kita perjuangkan selama ini. Dalam erti kata lain, tak boleh pemansuhan AUKU ini membawa kepada penggantian akta yang sama menindas seperti yang selama ini ditentang.

“Ia harus membuka sebuah medan ataupun peluang bagi semua universiti dan juga lapangan pengajian tinggi kita menjadi lebih progresif,” katanya ketika dihubungi dalam segmen Reaksi terbitan Bernama Radio pada Selasa.

Beliau berkata, proses penggubalan kerangka berkenaan akan melibatkan sesi konsultasi yang luas dan inklusif bersama semua pemegang taruh, termasuk wakil mahasiswa, kepimpinan universiti, ahli akademik serta pembuat dasar.

Katanya, KPT turut merujuk pelbagai rekod sejarah, tafsiran undang-undang serta cadangan asas seperti Akta Satu Pendidikan Tinggi dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia bagi memastikan kerangka baharu itu dibina berasaskan prinsip yang jelas.

“Kita harus membangunkan sebuah kerangka baharu yang bersifat membangun, yang bersifat membebaskan, yang betul-betul dapat memenuhi potensi satu-satu universiti sebagai sebuah tempat untuk percambahan ilmu, perdebatan yang sihat dan juga kebebasan untuk belajar dan berakademik.

“Kita harus pastikan bahawa penglibatan (pelbagai pihak)… untuk memastikan bahawa tak ada berlaku klausa pintu belakang dan sebagainya, kita harus buka ruang yang lebih luas, konsultasi yang lebih bermakna kepada semua pihak yang bakal dinaungi oleh akta yang bakal diperkenalkan kelak,” katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberi jaminan AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa pengenalan sebarang undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.

AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.

Pindaan terbaharu pada 2024 menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad dilapor berkata, pemansuhan AUKU 1971 perlu disusuli dengan penubuhan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi meneliti kerangka undang-undang baharu yang dapat memastikan tadbir urus serta pengurusan institusi pengajian tinggi terus terpelihara.- Bernama 

Scroll to Top