JOHOR BAHRU – Paras air Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Muda, Kedah dilaporkan berada pada tahap kritikal berikutan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, bagaimanapun bekalan air di kedua-dua kawasan terbabit masih terkawal.
Menurutnya, bekalan air di Empangan Timah Tasoh mampu bertahan selama 50 hari jika tiada hujan.
“Pemantauan di semua empangan dilaksana berterusan dan setakat ini terkawal tetapi di bahagian Utara negara yang kritikal.
“Empangan Timah Tasoh yang paling kritikal sebab difahamkan hanya dapat bertahan dalam tempoh 50 hari sekiranya tiada hujan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengikuti Ops Tebrau (Pematuhan pengosongan tangki septik secara berjadual) di sekitar bandaraya ini di Jalan Syahbandar 2, Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, Ahmad Faizal memberitahu, keadaan dijangka tidak berlarutan selepas program pembenihan awan dilaksanakan dan menghasilkan hujan di beberapa kawasan.
“Berdasarkan pola cuaca sebelum ini, kawasan utara dijangka menerima hujan sekitar September hingga Oktober berikutan peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut.
“Harap-harap hujan. Tetapi kalau tidak hujan, kita sudah ada perancangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Syarikat Air Perlis untuk mengepam air daripada tempat-tempat yang sepatutnya seperti kolam, tali air dan sebagainya,” katanya.
Katanya, bekalan air di negeri-negeri lain masih terkawal termasuk di Johor yang ada menerima hujan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
Setakat ini, empat siri operasi pembenihan awan dilaksanakan bermula April hingga Julai dengan kebanyakan kawasan tertumpu di utara dan Johor.
