KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan kenaikannya untuk ditutup lebih tinggi berbanding mata wang utama dan serantau pada Selasa, apabila jangkaan Rizab Persekutuan AS kemungkinan besar tidak menaikkan kadar faedahnya pada September telah menjejaskan dolar AS.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0575/0615 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0585/0630 pada Isnin.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kemungkinan kadar faedah tidak dinaikkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) September terus menjadi pemacu utama pengukuhan ringgit, di samping sentimen positif terhadap ekonomi Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata hari ini pertumbuhan memberangsangkan ekonomi Malaysia pada separuh pertama tahun ini, yang melebihi unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2026 Bank Negara Malaysia pada empat hingga lima peratus, menunjukkan daya tahan ekonomi negara.
KDNK meningkat 5.4 peratus pada suku pertama dan enam peratus pada suku kedua, membawa kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhan sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026.
Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata, sentimen pasaran masih kekal rapuh, memandangkan harga minyak mentah yang lebih tinggi boleh mendorong peningkatan inflasi menjelang akhir tahun.
“Jika itu berlaku, jangkaan kenaikan kadar akan muncul semula,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, unit tempatan ditutup lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5420/5446 daripada 2.5496/5526 pada Isnin, meningkat berbanding pound British kepada 5.4902/4956 daripada 5.5021/5082 dan naik berbanding euro kepada 4.6982/7028 daripada 4.7062/7115.
Unit tempatan juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Ringgit naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.56/6.58 daripada 6.60/6.61 pada Isnin, meningkat berbanding baht Thai kepada 12.2657/2819 daripada 12.2948/3136, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 227.1/227.4 daripada 228.0/228.3 dan menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.1756/1790 daripada 3.1804/1842 sebelumnya.- Bernama
