nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kemasukan pelabur asing ke negara ini perlu memberi nilai tambah kepada ekonomi serta tidak menjejaskan ekosistem dan rantaian bekalan tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan menyambut baik penyertaan syarikat luar untuk bersaing, namun ia mestilah berlandaskan prinsip persaingan adil.
Menurutnya, pelaburan asing sebaliknya perlu mengukuhkan industri sedia ada dan bukannya menghakis pasaran tempatan yang dibina sejak sekian lama.
”Kita mahu meyakinkan rakan kongsi dan pelabur asing supaya menjadi pelabur yang dipercayai serta rakan institusi.
”Pada masa sama, mereka perlu meninggalkan sesuatu kepada kita supaya dapat membina ekosistem bersama serta wujud saling melengkapi,” katanya ketika berucap pada pembukaan Forum Ekonomi Belia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Johari memberi contoh sektor automotif yang memerlukan keseimbangan antara keterbukaan pelaburan luar dan kelangsungan industri tempatan.
Katanya, tindakan pengeluar automotif asing berskala besar yang membawa keseluruhan rantaian bekalan dari negara asal tanpa memberi sumbangan kepada industri tempatan boleh memberi implikasi negatif kepada ekosistem sedia ada.
”Pengguna mungkin menikmati harga lebih murah dalam jangka pendek sekiranya persaingan dibuka tanpa kawalan, namun kesan jangka panjang terhadap rantaian bekalan dan peluang pekerjaan tempatan mesti diambil kira.
”Matlamat kita bukan untuk melindungi syarikat tempatan selama-lamanya, tetapi memastikan persaingan adil demi mengukuhkan ekonomi negara,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




