BANGKOK – Polis Thailand telah mengemukakan beberapa pertuduhan terhadap pemilik sebuah pub di Bangkok kepada pihak pendakwaan, sebulan selepas kebakaran di premis itu yang meragut 41 nyawa dalam insiden paling buruk melibatkan pusat hiburan di negara itu dalam tempoh lima tahun.
Komander Polis Daerah, Mejar Jeneral Kiatikul Sonthinern berkata, pertuduhan yang dikemukakan termasuk kecuaian sehingga menyebabkan kematian, kecederaan serius dan kemudaratan fizikal serta mental kepada orang lain.
Beliau berkata, pemilik premis itu turut berdepan pertuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kebakaran serta mengendalikan pusat hiburan tanpa lesen sah.
Bagaimanapun, menurut Kiatikul, pemilik pub berkenaan masih menerima rawatan di hospital dan belum berupaya memberikan maklum balas terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Sementara itu, Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok mengesahkan angka korban kini meningkat kepada 41 orang, manakala 10 lagi mangsa masih menerima rawatan di hospital.
Kebakaran itu berlaku di pub Rong Beer Na Lat Phrao di daerah Chatuchak, utara Bangkok, sejurus sebelum tengah malam pada 13 Julai lalu.
Menurut Kiatikul, siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas pada unit pendingin hawa yang berlaku susulan pengubahsuaian sistem pendawaian tanpa kebenaran.
Pakar sebelum ini turut menjelaskan bahawa penggunaan bahan busa dan plastik yang tidak kalis api bagi tujuan hiasan serta penebat bunyi menyumbang kepada penyebaran haba melampau dan asap beracun dalam tempoh singkat.
Susulan tragedi itu, kerajaan Thailand berikrar memperketat penguatkuasaan standard keselamatan kebakaran, termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut di pusat hiburan bagi memastikan pematuhan peraturan keselamatan. – Awani