El Nino dijangka terkuat pernah direkodkan – Laporan NOAA

Ankara/ Istanbul: Fenomena El Nino dijangka mencapai kemuncaknya pada lewat musim luruh atau awal musim sejuk, dengan kebarangkalian kira-kira 70 peratus untuk menjadi peristiwa paling kuat pernah direkodkan sejak 1950, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS).

Keadaan El Nino terus berkembang pesat, menurut laporan CNN yang berasaskan ramalan terkini agensi AS itu.

Ramalan berkenaan menunjukkan bahawa fenomena itu menghampiri tahap “memecah rekod”, dengan kemuncak dijangka berlaku pada lewat musim luruh atau awal musim sejuk.

NOAA menganggarkan peristiwa kali ini akan mengatasi kekuatan “Super El Nino” yang berlaku pada 1982-1983.

Pakar memberi amaran bahawa kesan pemanasan global boleh bergabung dengan El Nino untuk memburukkan lagi gelombang haba serta tahap keseriusan bencana alam.

Disebabkan kebolehan dan kekuatan fenomena yang dijangkakan itu, tahun 2027 dinilai berpotensi tinggi untuk menjadi tahun terpanas dalam rekod.

Pakar turut menyatakan bahawa tahun 2026 berpotensi untuk memecahkan rekod yang sama.

El Nino merupakan corak cuaca di Lautan Pasifik yang menyebabkan suhu meningkat, terutamanya di kawasan pesisir pantai dan di seluruh dunia.

La Nina, yang dianggap sebagai fasa berlawanan, dikaitkan dengan keadaan cuaca yang lebih sejuk secara global.

Tempoh antara El Nino dan La Nina dianggap sebagai fasa neutral, iaitu apabila corak cuaca yang lebih tipikal atau semula jadi mengatasi keadaan atmosfera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top