GEORGE TOWN – DAP terus berdepan pelbagai serangan politik sepanjang 18 tahun mentadbir Pulau Pinang namun tetap berpegang kepada komitmen untuk membina masa depan lebih baik untuk rakyat.
Untuk rekod, DAP mula memerintah Pulau Pinang sejak 8 Mac 2008 berikutan kemenangan parti itu bersama gabungan pembangkang (kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat) dalam Pilihan Raya Umum ke-12.
Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Joshua Woo berkata, pelbagai serangan politik yang berlaku tidak mengubah pendirian parti itu untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan kepentingan rakyat.
“Di tengah-tengah segala serangan itu, pendirian kami kekal teguh, fokus kami kekal jelas dan amanah rakyat terus menjadi keutamaan.
“Kami mahu membina masa depan yang lebih baik untuk Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Selain itu, Joshua berkata, Pulau Pinang sebelum ini pernah diperlekeh dengan gelaran ‘Darul Sampah’ sebelum pentadbiran negeri hari ini membawa perubahan sehingga menerima pengiktirafan di peringkat ASEAN.
“Pulau Pinang kini semakin bersih dan telah meraih ASEAN Clean Tourist City Award buat kali keempat berturut-turut dari 2018 hingga 2026.
“Ini merupakan perubahan berbanding sebelum DAP menjadi kerajaan negeri apabila Pulau Pinang pernah diperlekeh sebagai ‘Darul Sampah’,” katanya.
Ujarnya, Pulau Pinang masih diserang tanpa henti terutamanya menjelang musim pilihan raya yang mana, pelbagai parti politik termasuk Bersama mula berkempen dan menyerang DAP Pulau Pinang.
“Corak yang sama berlaku pada 2013, 2018 dan 2023. Kini, sejarah itu berulang lagi.
“Namun, komitmen DAP Pulau Pinang kekal sejernih dan seteguh sejak 18 tahun lalu, iaitu untuk terus membina masa depan yang lebih baik bagi Pulau Pinang,” katanya.
Mengulas mengenai pencapaian sepanjang 18 tahun itu, Joshua berkata, antara pencapaian yang boleh dilihat ialah Pulau Pinang mencatatkan eksport terkumpul sekitar RM2.65 trilion dari 2020 hingga 2025, selain kekal sebagai negeri pengeksport terbesar Malaysia pada 2025 dengan menyumbang 36 peratus daripada jumlah eksport negara.
Katanya, nilai eksport Pulau Pinang masing-masing mencatat RM312.4 bilion pada 2020, RM354 bilion (2021), RM463.3 bilion (2022), RM447.4 bilion (2023), RM494.9 bilion (2024) dan RM574 bilion pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.646 trilion.
“Selain itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita Pulau Pinang meningkat RM25,766 daripada RM54,818 pada 2020 kepada RM80,584 pada 2025.
“Dalam tempoh sama, Pulau Pinang turut merekodkan hampir RM207 bilion pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan,” ujarnya.
Tegasnya lagi, jumlah pelaburan asing sektor pembuatan yang diluluskan itu masing-masing ialah RM14.1 bilion pada 2020, RM76.2 bilion (2021), RM13.7 bilion (2022), RM63.4 bilion (2023), RM17.3 bilion (2024) dan RM22.4 bilion pada 2025, dengan jumlah keseluruhan RM207.1 bilion.
Menurut beliau, pendapatan median bulanan isi rumah Pulau Pinang turut meningkat RM1,217 daripada RM6,169 pada 2020 kepada RM7,386 pada 2024.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2024, Pulau Pinang mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pendapatan median tertinggi sebanyak 6.4 peratus berbanding kadar pertumbuhan median nasional sebanyak 5.1 peratus,” katanya.
Dalam aspek pendidikan, Joshua berkata, sejak Penang Future Foundation dilancarkan pada 2015, kira-kira 863 biasiswa telah dianugerahkan dengan nilai unjuran keseluruhan RM47.7 juta kepada pelajar yang layak.
Katanya, kerajaan negeri turut menginstitusikan peruntukan tahunan bagi menyokong pendidikan dengan lebih RM53.85 juta disalurkan antara 2023 hingga 2026 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah agama rakyat.
“Anak-anak muda ialah aset paling berharga bagi Pulau Pinang. Ilmu, bakat dan kejayaan mereka akan menentukan masa depan negeri ini,” katanya.
Joshua menambah, DAP Pulau Pinang turut kekal komited menyokong komuniti bukan Islam apabila lebih RM7.46 juta diperuntukkan kepada lebih 200 rumah ibadat bukan Islam dalam tempoh 2023 hingga 2025.
Katanya, peruntukan itu merangkumi tokong Tao, kuil Buddha dan Hindu, gereja serta pertubuhan keagamaan lain.
Menurutnya, Pulau Pinang juga kini menerima sokongan lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan selepas kerajaan negeri sehaluan dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
“Projek LRT Pulau Pinang menelan kos kira-kira RM17 bilion dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
“Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua di Seberang Perai pula melibatkan kos RM3 bilion, juga dibiayai Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Joshua berkata, pencapaian itu membuktikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri kecil mampu mengeksport lebih banyak, menarik lebih banyak pelaburan, menjana pendapatan lebih tinggi, memperluas peluang pendidikan serta menyumbang lebih besar kepada negara.
