SEPANG: ASEAN perlu memposisikan peranannya bukan sekadar sebagai peserta, sebaliknya peneraju dalam rantaian nilai bateri di peringkat global.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, ini kerana negara yang menerajui inovasi teknologi bateri bakal menentukan hala tuju industri, pelaburan dan peluang ekonomi pada masa hadapan, sekali gus meletakkan ASEAN sebagai antara rantau paling berpengaruh dalam rantaian nilai bateri global.
“Cabaran kita hari ini bukan lagi sekadar membincangkan teknologi bateri. Cabaran kita ialah mengindustrikannya. Pengindustriaan memerlukan lebih daripada sekadar penemuan teknologi. Ia memerlukan model perniagaan dan keupayaan yang kukuh, piawaian serta sistem pensijilan yang diyakini, selain rantaian bekalan yang berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Teknologi Bateri ASEAN (ABTC) 2026 anjuran NanoMalaysia Berhad (NMB) yang membawa tema “Mengindustrikan Teknologi Bateri: Memperkukuh Rantaian Nilai Bateri ASEAN untuk Daya Saing Global” bermula hari ini sehingga Jumaat di Movenpick Hotel & Convention Centre di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, dengan memperkukuh kerjasama serantau dan menggabungkan kekuatan masing-masing, ASEAN mampu membina rantaian nilai bateri yang berdaya tahan, dipercayai dan berdaya saing di peringkat global, sekali gus memberikan kemakmuran bersama kepada semua negara anggota.
“Tiada sebuah negara pun mampu membangunkan industri bateri yang berdaya saing di peringkat global secara bersendirian.
“ASEAN mempunyai kekuatan tersendiri melalui kecemerlangan penyelidikan, keupayaan pembuatan, pelaburan, pembangunan piawaian dan integrasi pasaran yang mampu menjadikan rantau ini sebagai antara ekosistem bateri paling kompetitif di dunia.
“Oleh itu, saya memuji ABTC kerana menyediakan platform penting untuk menghimpunkan pembuat dasar, pengeluar, penyelidik, pelabur, pembangun teknologi dan organisasi piawaian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan komited memperkukuh keseluruhan ekosistem inovasi termasuk penyelidikan dan pembangunan, pembangunan bakat serta pengkomersialan teknologi.
Jelasnya, proses pengindustriaan memerlukan tenaga kerja berkemahiran, kesiapsiagaan pelaburan, pengkomersialan teknologi dan kerjasama serantau yang lebih erat.
Justeru, katanya, usaha tersebut selaras dengan aspirasi negara menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi serta Teknologi Hidrogen (HETR).
“Inisiatif NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut memainkan peranan dalam memperkukuh keupayaan pembuatan bateri negara di samping mempercepat pembangunan teknologi penyimpanan tenaga termaju.
“Pada masa sama, Hydrogen-EV-Battery Centre (HEBATT) berfungsi sebagai platform penyelidikan, pembangunan prototaip, pengujian, pengesahan dan pembuatan bateri pada skala perintis,” ujarnya. – UTUSAN
