Polis Thailand gagalkan cubaan seludup dadah RM12.26 juta ke Malaysia

Kota Bharu: Pihak berkuasa Thailand berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih 205 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM12.26 juta ke Malaysia susulan penahanan empat ahli sindiket dadah di Hat Yai pada Jumaat dan Ahad lalu.

Rampasan itu dibuat menerusi beberapa serbuan oleh Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9, Polis Hat Yai dan pejabat Pejabat Kawalan Narkotik (ONCB) Wilayah 9.

Jurucakap Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9 berkata, sindiket berkenaan menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengangkut methamphetamine dari Hat Yai ke Narathiwat.

“Pihak berkuasa Thailand menerima maklumat Jumaat lalu bahawa beberapa bungkusan disyaki mengandungi dadah telah dihantar melalui sebuah syarikat kurier.

“Seorang suspek ditahan kira-kira 9.30 pagi ketika mengambil bungkusan berkenaan menggunakan trak pikap dari syarikat kurier di Ban Phru di Hat Yai.

“Pemeriksaan mendapati beberapa bungkusan mengandungi methamphetamine bersama suspek.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi suspek di kediaman mereka di sub-Khuan Lang, Hat Yai,” katanya.

Jurucakap itu berkata, suspek pertama yang ditahan akan menyerahkan dadah berkenaan kepada dua lagi suspek.

“Salah seorang suspek mengaku membuat tiga penghantaran membabitkan 800 kg methamphetamine kepada rakan di Narathiwat, dengan menerima antara RM19,600 hingga RM24,500 bagi setiap penghantaran,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendedahkan seorang wanita dalam perjalanan dari Narathiwat akan mengambil dadah berkenaan.

“Pemantauan dijalankan sebelum seorang wanita berusia 62 tahun, yang memandu trak pikap, ditahan di Jalan Kanchanawanit pada Ahad.

“Wanita itu mengaku bahawa 205 kg dadah berkenaan akan diangkut ke Jeti Tak Bai di Narathiwat sebelum diseludup masuk ke Malaysia melalui Pengkalan Kubor, Tumpat,” katanya.

Polis Kelantan sebelum ini pernah menyatakan bahawa sindiket semakin kerap menggunakan laluan sungai dan pesisir pantai dari Tak Bai, Thailand, termasuk laluan air di Tumpat, untuk memasuki negeri ini.

Pihak berkuasa Thailand sebelum ini turut mengesan sindiket dadah menggunakan pekan Sungai Golok sebagai titik transit sebelum bahan narkotik berkenaan diseludup merentasi sempadan ke Kelantan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top