SHAH ALAM – Sinar Harian menyuntik kelainan dalam penganjuran Town Hall Rakyat tahun ini dengan membuka pentas berkenaan kepada lebih ramai pemimpin untuk tampil menyampaikan kad laporan serta berinteraksi secara langsung dengan rakyat.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, sebelum ini Town Hall Rakyat lebih eksklusif sebagai platform untuk menteri, menteri besar dan ketua menteri, namun pendekatan baharu itu memberi peluang kepada pemimpin daripada peringkat lain tampil bersemuka dengan masyarakat.
“Town Hall Rakyat adalah inisiatif Sinar Harian untuk mana-mana pemimpin menyampaikan kad laporan mereka. Tahun ini kita suntik kelainan untuk beri peluang lebih ramai pemimpin tampil.
”Walaupun media sosial membolehkan rakyat berhubung secara langsung, Town Hall Rakyat memberi ruang komunikasi yang lebih tersusun, bersemuka dan bertanggungjawab. Sebagai media arus perdana, Sinar Harian berperanan membawa persoalan sebenar rakyat terus kepada pembuat keputusan,” katanya.
Town Hall Rakyat diperkenalkan Sinar Harian pada Mac 2023 sebagai platform interaktif yang menyediakan ruang kepada rakyat bersemuka dan mengemukakan soalan kepada tokoh serta pemimpin negara.
Sebelum ini antara menteri yang pernah menjadi panel Town Hall Rakyat ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Zamri menegaskan, Town Hall Rakyat sangat berbeza dengan pentas ceramah politik kerana interaktif hadirin dengan pemimpin lebih terbuka.
Katanya, segmen khas turut disediakan bagi membolehkan hadirin mengemukakan soalan secara terus kepada tetamu, sekali gus menjadikan program berkenaan sebagai ruang dialog dua hala dan bukan sekadar sesi penerangan.
“Di Town Hall Rakyat, interaksi hadirin dengan pemimpin lebih terbuka. Kita menyediakan segmen khas kepada hadirin untuk bertanyakan soalan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zamri berkata, dengan kelainan yang ditampilkan, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib akan menjadi Exco negeri pertama tampil di pentas Town Hall Rakyat.
“Sinar Harian sangat berbesar hati atas kesudian beliau, apatah lagi beliau sudah tentunya penyambung legasi ayahandanya, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak.
“Antara persoalan yang dijangka mencetuskan perhatian hadirin termasuk perkembangan pelaburan di Pahang, isu penyatuan Melayu, penglibatan generasi Z (Gen Z) dalam politik serta perkara berkaitan Najib,” kata beliau.
Beliau turut menjangkakan sambutan terhadap program berkenaan akan menggalakkan, justeru orang ramai khususnya anak-anak Pahang di Lembah Klang dinasihatkan hadir lebih awal bagi memastikan dapat memasuki Dewan Karangkraf di sini.
Program Town Hall Rakyat bersama Mohamad Nizar dijadualkan berlangsung pada esok dan akan dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim.

