Pendirian mansuh AUKU disuara dalam mesyuarat Jemaah Menteri – Anwar

KLANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuarakan pendiriannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dibatalkan sepenuhnya.

Beliau berkata, pendirian tegas itu disuarakan beliau dalam mesyuarat itu pada Rabu.

Menurut Anwar, mahasiswa berusia 18 tahun perlu dianggap sebagai golongan dewasa yang wajar diberi ruang untuk berfikir, bersuara dan melakukan perbezaan pandangan tanpa dikongkong menerusi undang-undang tambahan.

“Didiklah, tegurlah. Tak ada undang-undang? Ada undang-undang jenayah pakailah. Mengapa nak ditambah undang-undang untuk anak-anak mahasiswa?” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Sesi Temu Anwar pada Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini pada Khamis.

Anwar pada Ahad lalu menegaskan, kerajaan menyatakan pendirian untuk memansuhkan AUKU 1971 secara menyeluruh dan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang sekadar mahu meminda peruntukan undang-undang berkenaan.

Langkah itu bagi menjamin kebebasan hakiki mahasiswa dan memastikan tiada lagi undang-undang baharu yang diperkenalkan untuk mengongkong pergerakan golongan itu di kampus.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau masih yakin mahasiswa mampu mengawal diri dan membuat pertimbangan termasuk ketika menyuarakan pandangan berbeza.

Anwar menegaskan, mahasiswa perlu diberi ruang untuk berfikir, bersuara dan mengemukakan pandangan tanpa budaya takut terhadap pihak universiti atau kerajaan.

Katanya, mahasiswa juga boleh tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, namun perbezaan pandangan perlu disampaikan secara sopan dan beradab.

“Sebab itu ada ikhtilaf dalam Islam, ada pendapat, tapi ada (adab),” jelas beliau.

Menurut beliau, soal kuasa pengurusan universiti seperti dekan, senat dan lembaga pengajian adalah perkara berbeza dan perlu diteliti dalam usaha memperkukuh tadbir urus institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan akan membawa perkara ini ke hadapan kepimpinan universiti dan memastikan reformasi itu tidak mewujudkan bentuk kawalan baharu terhadap mahasiswa,” tambah beliau.

Anwar semasa menyampaikan ucapan semasa Sesi Temu Anwar pada HAMKA Antarabangsa 2026 di sini pada Khamis.

 

 

Scroll to Top