Sindiket lombong emas haram diketuai 'Mak Siti' raih RM13,000 sehari tumpas

am@hmetro.com.my

Marang: Sindiket perlombongan emas haram yang dipercayai mampu meraih hasil sehingga RM13,000 sehari tumpas apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 15 individu dalam serbuan Op Gali Mega Zon Timur di Bukit Kor, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, PGA turut merampas pelbagai peralatan perlombongan termasuk jentera berat yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM449,000.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, 11 warga asing dan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan.

Katanya, siasatan awal mendapati operasi di kawasan seluas 4.05 hektar itu dikendalikan seorang wanita warga Kemboja dikenali sebagai ‘Mak Siti’ sejak kira-kira sebulan lalu.

“Serbuan dijalankan dua pegawai dan 10 anggota PGA Batalion 9 dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita merampas sebuah jentera berat, lapan pam air, tiga generator, dua mesin pengayak emas dan sebuah mesin pemecah batu.

Warga asing yang ditahan pula membabitkan seorang warga Vietnam dan 10 rakyat Kemboja,” katanya pada sidang media di lokasi operasi.

Menurutnya, sindiket menggali lubang sedalam kira-kira enam meter sebelum tanah dan batu dibawa ke kawasan pemprosesan menggunakan jentera berat.

Katanya, bahan itu kemudian dihancurkan, dibersihkan, ditapis dan diayak bagi mengasingkan emas sebelum dijual kepada seorang pembeli tempatan yang dikenali sebagai ‘Pak Lang’.

“Siasatan mendapati mereka mampu memperoleh sehingga 40 gram emas sehari.

“Penemuan ini menunjukkan kegiatan perlombongan emas haram di Bukit Kor bukan lagi berskala kecil, sebaliknya mempunyai rantaian operasi tersusun daripada penggalian, pemprosesan, pengasingan emas sehingga pemasaran,” katanya.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan terhadap pemilik tanah berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top