sukan@hmetro.com.my
Seremban: Pemain sayap kiri Negeri Sembilan FC (NSFC), Anuar Ceesay bertekad untuk memainkan peranan lebih efektif kepada pasukan itu sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026-2027, selepas kerap beraksi sekadar pemain gantian pada musim lalu.
Pemain berusia 23 tahun itu juga berharap berpeluang berada dalam kesebelasan utama dan mendapat minit permainan yang lebih baik dalam usahanya untuk membantu pasukan mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Fokus saya untuk memberikan sumbangan lebih baik kepada pasukan sepanjang saingan liga musim baharu ini nanti dan berharap berpeluang berada dalam barisan kesebelasan utama pada setiap perlawanan walaupun kedudukan itu hanya akan ditentukan oleh ketua jurulatih.
“Namun, saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik setiap kali diamanahkan menggalas cabaran pasukan dan ingin membuktikan kehadiran saya dalam pasukan ini memberi impak positif kepada kekuatan pasukan,” kata Anuar.
Pemain kacukan Malaysia-England-Gambia itu akui sudah bersedia untuk diturunkan sekiranya ketua jurulatih, Daniel Giménez Alcañiz memilihnya dalam barisan kesebelasan terbaik skuad Hobin Jang Hobin.
Anuar, bekas pemain UM-Damansara United mula bersama Negeri Sembilan pada Januari lalu ketika saingan Liga Malaysia musim 2025-2026 memasuki pusingan kedua.
NSFC akan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

