SPX tambah 10 EV perkukuh operasi penghantaran di Lembah Klang

SPX Express (SPX) hari ini memperkenalkan 10 kenderaan penghantaran elektrik (EV) baharu sebagai penambahan kepada armadanya untuk operasi di Lembah Klang.

SPX dalam satu kenyataan berkata, pengenalan EV ini mencerminkan usaha berterusan SPX untuk memperkukuh keupayaan operasinya bagi memenuhi keperluan perniagaan dan pelanggan di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, seiring dengan peningkatan jumlah penghantaran dan perubahan ekspektasi pelanggan, penambahbaikan berterusan terhadap infrastruktur, teknologi, dan model operasi adalah penting bagi penyedia logistik untuk memastikan perkhidmatan penghantaran yang boleh dipercayai.

“Kesemua 10 EV tersebut dibekalkan oleh Dongfeng Commercial Vehicle (Malaysia) Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat Sunway Group, dan pengedar tunggal kenderaan komersial Dongfeng di Malaysia.

“Ia akan digunakan untuk penghantaran bungkusan harian di seluruh Lembah Klang dan bagi memenuhi keperluan operasi penghantaran bungkusan di kawasan bandar.

“Setiap kenderaan mempunyai jarak perjalanan sehingga 200km bagi satu pengecasan, kapasiti muatan sehingga 1,015kg dan ruang kargo berkapasiti 4.8m³,” ujarnya pada Khamis.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, wakil daripada SPX dan Dongfeng Commercial Vehicle (Malaysia) Sdn. Bhd.

Sementara itu, Ketua SPX Express Malaysia, Cheah Lee Sun, berkata, keutamaan SPX adalah untuk terus menyediakan penyelesaian penghantaran yang boleh dipercayai dan menjimatkan kos.

Jelasnya, ia bagi membantu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Malaysia mencapai dan melayani pelanggan mereka, di samping memenuhi keperluan pembeli yang sentiasa berubah.

“Ini bermakna kami terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh setiap bahagian rangkaian kami, daripada teknologi penyisihan hingga infrastruktur.

“Penambahan 10 kenderaan elektrik baharu ke dalam armada kami di Lembah Klang merupakan sebahagian daripada pendekatan ini, yang membantu kami meningkatkan kecekapan operasi penghantaran sambil terus menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai.

“Dengan mengintegrasikan keupayaan ini secara lebih berkesan, kami akan terus memperkukuhkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kongsi, sambil membina keupayaan yang mampu memenuhi keperluan mereka untuk jangka panjang,” ulasnya.

Scroll to Top