Ipoh: Impian pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Lovely Sabana Augustine melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini tercapai, selepas menerima bantuan menerusi Program Ziarah Prihatin UPSI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hari ini.
UPSI dalam kenyataan memaklumkan Lovely Sabana yang merupakan bakal pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, sebelum ini berdepan kekangan kewangan bagi menjelaskan bayaran pendaftaran serta menyediakan keperluan memulakan pengajian sesi akademik 2026/2027.
Kisah kesempitan hidup pelajar berkenaan yang bakal mendaftar di UPSI pada 13 September depan, tular di media sosial selepas beliau memerlukan sejumlah wang bagi menampung bayaran pendaftaran dan keperluan pengajian.
UPSI memaklumkan keprihatinan terhadap nasib Lovely Sabana diteruskan menerusi kunjungan Ziarah Prihatin UPSI bersama KPT di sekitar Tumpat dan Pasir Mas, Kelantan, yang turut menyantuni dua lagi bakal mahasiswa yang memerlukan bantuan.
Menerusi program itu, Lovely Sabana bersama-sama Siti Nurdianis Nordin, bakal pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, serta Muhamad Ilias Danish, bakal pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi, masing-masing menerima sumbangan RM1,500 bagi membantu persediaan awal sebelum mendaftar di UPSI.
Daripada jumlah itu, RM500 disumbangkan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat & Sedekah (WEZAS) UPSI, manakala RM1,000 lagi disalurkan Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) KPT Hirman Awang berkata bantuan itu, mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“YPS sentiasa bersedia menjadi ‘tentera barisan hadapan’ dalam menjaga kebajikan mahasiswa dan sumbangan RM1,000 kepada setiap pelajar ini diharap dapat menyuntik semangat, selain membantu menyelesaikan sebahagian keperluan asas serta yuran pendaftaran mereka sebelum mendaftar di kampus,” katanya menerusi kenyataan itu.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata pihak universiti itu, sentiasa peka terhadap kesusahan yang dihadapi bakal mahasiswa, khususnya mereka daripada keluarga yang berdepan kekangan kewangan.
“Pihak UPSI melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan WEZAS sentiasa proaktif mengesan pelajar yang memerlukan bantuan awal.
“Inisiatif turun padang ini bukan sekadar memberi bantuan kewangan, malah memastikan mereka tahu bahawa UPSI sentiasa ada untuk menyokong perjalanan akademik mereka dari hari pertama lagi,” katanya.
Lovely Sabana, anak bongsu empat beradik, menetap bersama ibunya Mek Kenui di Tumpat, Kelantan yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah, dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan selain menjadi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), manakala bapanya yang juga bekas anggota tentera meninggal dunia pada 2017.
Siti Nurdianis pula dibesarkan dalam keluarga berpendapatan tidak menentu dengan ibunya bergantung kepada pendapatan harian, manakala Muhamad Ilias kehilangan tempat bergantung selepas kematian bapanya dan kini membantu ibunya menyara keluarga.
UPSI memaklumkan program berkenaan merupakan kerjasama strategik UPSI, YPS dan JPT dalam memastikan kebajikan bakal mahasiswa terus diberi perhatian, serta mengelakkan golongan yang memerlukan tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian.
© New Straits Times Press (M) Bhd
