JAKARTA – Kumpulan Penjenayah Bersenjata (KKB) dilaporkan menyerang penduduk di Jila, Daerah Mimika, Papua Tengah, dengan menculik sembilan wanita selain menyebabkan kematian seorang ibu dalam kejadian pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Mimika, AKBP Alfredo Agustinus Rumbiak, mengesahkan kejadian berkenaan seperti dilaporkan Bali Express.
Menurut laporan, kira-kira 15 anggota kumpulan itu pada awalnya cuba membawa 11 wanita masuk ke kawasan hutan.
Bagaimanapun, dua daripada mangsa dipercayai enggan menurut arahan tersebut sebelum salah seorang daripada mereka, Neregingget Magai, 48, ditembak sehingga maut.
Anak mangsa yang dikenali sebagai IA pula dilaporkan dicampak ke dalam gaung oleh penyerang dan mengalami kecederaan pada kaki.
Dalam kejadian sama, sembilan wanita lain dibawa masuk ke kawasan hutan.
Mangsa terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan golongan remaja, manakala seorang daripadanya dilaporkan sedang hamil.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Daerah Mimika segera menggerakkan operasi bagi mengesan mangsa serta memburu kumpulan terbabit.
Memandangkan Jila hanya boleh dihubungi melalui udara, satu skuad anggota Batalion B Brimob diterbangkan menggunakan helikopter ke kawasan berkenaan bagi memperketat kawalan keselamatan dan menjalankan operasi mencari suspek. – Agensi