saifulaffendy@hmetro.com.my
Kajang: Kerja keras selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil apabila negeri yang sering dilabel ‘hanya ada lapan orang’, Perlis berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan angkat berat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Ketua jurulatih angkat berat Perlis, Faiz Musa berkata, beliau amat bersyukur apabila sasaran empat pingat emas yang diletakkan sebelum temasya itu berjaya direalisasikan biarpun berdepan pelbagai cabaran.
Pada temasya kali ini, Perlis mengumpul empat emas, dua perak dan satu gangsa untuk muncul juara keseluruhan, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu.
Emas disumbang oleh Nurqalida Umirah Abdullah (bawah 58kg), Nurul Aisyah Athirah Mohd Nadzim (bawah 63kg), Muhammad Aimran Syahir Roslin (bawah 71kg) dan Fitrah Nur Afaf Zahraa Shahid (lebih 86kg).
Pada edisi 2024, Perlis meraih empat emas serta masing-masing satu perak dan gangsa.
“Yang pertama saya bersyukur kepada Allah kerana sasaran itu tercapai. Sejujurnya saya tidak sangka kerana untuk mendapatkan empat pingat emas bukan sesuatu yang mudah.
“Walaupun kita sudah berlatih, akhirnya kita bertawakal dan berserah kepada Allah. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan untuk mencapai sasaran itu,” kata Faiz.
Menurutnya lagi, kejayaan itu adalah hasil proses panjang yang bermula sejak beliau mengambil alih tugas sebagai jurulatih pada 2010 selepas terlebih dahulu mewakili Perlis sebagai atlet SUKMA.
Beliau berkata, pengalamannya melihat kemajuan negeri lain ketika bergelar atlet sejak 2002 menjadi titik permulaan untuk membangunkan program angkat berat Perlis.
“Saya belajar dari negeri lain soal persiapan, peralatan, pakaian, jurulatih, dan teknik tertentu. Dari situlah saya tanam azam untuk membangunkan sukan ini di Perlis.
“Pada permulaannya, banyak kekangan termasuk soal bajet. Saya pernah menggunakan elaun sendiri dan berusaha mendapatkan serta menyediakan peralatan kerana minat saya terhadap sukan ini,” katanya.
Faiz berkata, usaha itu mula menunjukkan hasil apabila Perlis meraih emas pada SUKMA 2012 sebelum program pembangunan bakat baharu diperkukuhkan bermula 2018.
“Proses ini cukup lama dan sepanjang perjalanan pasti ada kecaman, dugaan serta ujian. Tetapi hari ini, semuanya terbukti dan saya bersyukur dengan apa yang dicapai.
“Kejayaan ini bukan hasil seorang individu, tetapi hasil kerja seluruh pasukan termasuk jurulatih, atlet dan semua pihak yang menyokong kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
