firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengiktirafan sebagai Penyerang Terbaik pada Anugerah Liga Malaysia (Liga M) 2025-2026 bukan sekadar menambah koleksi peribadi Faisal Halim, malah menjadi pembakar semangat buat kapten Selangor itu untuk membuka kempen Liga Super musim ini dengan langkah positif.
Faisal mengakui kejayaan itu memberikan suntikan motivasi tambahan untuknya bekerja lebih keras dan membuktikan kemampuan bersama Gergasi Merah selepas ini.
Lebih menarik, peluang untuk membuktikan semangat baharu itu hadir seawal aksi pembukaan Liga M apabila Selangor dijadualkan berdepan pendatang baharu Liga Super, Kelantan Red Warrior (KRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.
“Anugerah berkenaan memberi satu semangat yang baru untuk saya teruskan (kerja keras) musim hadapan. Sebagai penyerang, sudah tentu kita mahu menjaringkan gol.
“Walaupun saya tidak dapat Kasut Emas, itu bukan satu benda yang membuatkan saya hilang semangat atau patah semangat. Anugerah Penyerang Terbaik ini bukan senang untuk dapat,” katanya.
Pengiktirafan itu juga hadir pada waktu yang cukup sesuai buat Faisal apabila Selangor mahu menebus kekecewaan musim lalu selepas gagal meraih sebarang trofi selain terlepas peluang beraksi di pentas Asia.
Justeru, pemain kelahiran Pulau Pinang itu pastinya menjadi antara pemain yang akan memikul harapan besar untuk memastikan Selangor memulakan musim dengan momentum lebih meyakinkan.
Selain Faisal, perhatian peminat turut terarah kepada wajah baharu Selangor, terutama penyerang import bertubuh sasa, Kay Tejan yang baru diumumkan sebagai pemain baharu Red Giants pada 13 Ogos lalu.
Selangor sebelum itu turut mengumumkan kehadiran Arbenit Xhemajli, Peter Makrillos, Eduardo Sosa dan Jefferson Tabinas selain pemain tempatan, Azam Azih serta Adib Abdul Ra’op.
Kehadiran barisan baharu itu dijangka memberikan dimensi berbeza kepada skuad Selangor, namun pengalaman dan ketajaman Faisal tetap menjadi aset penting dalam usaha memburu permulaan positif.
Selangor, yang tampil sebagai juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali kini mengintai peluang untuk melakar pencapaian lebih baik dalam Liga M musim ini selepas musim lalu berakhir tanpa trofi dan kegagalan mendapatkan tiket ke kejohanan peringkat Asia.
Aksi menentang KRW di Kota Bharu malam esok bakal menjadi ujian pertama untuk pasukannya memulakan misi mencabar kejuaraan dengan langkah yang diharapkan positif.
© New Straits Times Press (M) Bhd

