Dua emas pengubat duka Nor Alya

sukan@hmetro.com.my

Subang: Segala pengorbanan dan air mata penembak Perak, Nor Alya Aqila Mahathir sepanjang empat tahun akhirnya terbayar apabila dia meraih dua pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Alya bersama Nazirul Iqbal Roszaini terlebih dahulu membantu Perak menjuarai acara 10 meter air rifle campuran dengan kutipan 493.3 mata, mengatasi gandingan Pahang, Nur Auni Arissa Muhammad Azaha-Muhd Iman Syahmi Mohd Azidi yang mengumpul 489.1 mata untuk perak, manakala Pulau Pinang meraih gangsa dengan 421.1 mata.

Bagi Alya, kejayaan itu cukup bermakna selepas segala pengorbanan yang dilakukan bersama keluarganya sepanjang tempoh persiapan, termasuk berdepan detik sukar sehingga menitiskan air mata.

“Sangat berbaloi. Bak kata mak saya, takkan selama empat tahun saya menangis setiap hari, saya nak sia-siakan tanpa bawa balik emas. Jadi saya buktikan juga saya dapat bawa balik dua emas. Alhamdulillah,” katanya.

Alya berkata, kehadiran keluarganya di lokasi pertandingan turut memberikan suntikan semangat apabila mereka mula menyokongnya secara langsung sejak hari pertama saingan.

“Keluarga saya datang mula daripada semalam dan bermula daripada semalam saya dapat buat prestasi yang amat baik dalam diri saya,” katanya.

Sementara itu, Nazirul mengakui kejayaan dalam acara campuran itu memang sudah menjadi sasaran mereka dan dia yakin acara berkenaan mampu menghadiahkan emas kepada Perak.

“Saya memang sudah boleh jangka dan memang sasaran saya emas untuk acara campuran ini sebab saya yakin acara kegemaran saya ini tidak akan mengecewakan,” katanya.

Lebih manis, kejayaan itu menjadi emas pertama Nazirul dalam acara campuran di pentas SUKMA selepas sebelum ini sekadar meraih perak pada edisi Sarawak 2024.

“Kami gagal mara ke final pada 2024 dan menduduki tempat keenam. Hari ini kami buktikan Perak boleh bersaing untuk emas,” katanya.

Kedua-dua penembak itu masih mempunyai satu lagi peluang untuk beraksi di SUKMA 2028 selepas mereka mengesahkan penyertaan pada edisi Kelantan akan datang, sekali gus memberi ruang untuk mereka meneruskan momentum kejayaan bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top