PETALING JAYA: Penyanyi rap, Kidd Santhe, 26, meminta rakyat Malaysia agar berhati-hati melontarkan pandangan di media sosial berkaitan isu anjing bernama Rocky yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Katanya, ini kerana masyarakat tidak berada di tempat kejadian dan sekadar melontarkan pandangan berdasarkan potongan video yang berlegar di media sosial.
“Saya berharap masyarakat berhenti mengecam mana-mana pihak kerana sebagai pemerhati, kita tidak tahu keseluruhan cerita dan sekadar menilai berdasarkan potongan video yang diambil menggunakan telefon bimbit.
“Apa yang kita lihat di media sosial berbeza dengan perkara sebenar.
“Jadi, pastikan apabila memberi komen, kita selidik terlebih dahulu perkara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia mengulas tentang komen perkauman yang dilontarkan segelintir pegguna media sosial berkenaan isu Rocky yang didakwa mati tercekik tali penjerat baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Parssanth Navaratnam itu dalam masa sama meluahkan kebimbangan terhadap akaun palsu yang diwujudkan untuk menyemarakkan lagi api kemarahan rakyat.
“Sekarang ini, terlalu banyak akaun (media sosial) yang tidak ada gambar profil dan tak ada pengikut.
“Tetapi akaun-akaun media sosial ini aktif mengapi-apikan rakyat lebih-lebih mengenai isu yang kontroversi.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita kena atasi masalah ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Kidd juga berharap agar toleransi antara kaum di negara ini tidak terjejas hanya disebabkan isu kontroversi.
“Kita akan berdepan pelbagai cabaran untuk memakmur dan mengharmonikan masyarakat.
“Walaupun kita terdiri daripada agama dan bangsa yang berbeza, kita semua tetap rakyat Malaysia.Jadi, janganlah isu seperti Rocky ini memecahbelahkan kita,” kongsinya. – UTUSAN
