PUTRAJAYA: Produk semikonduktor pertama yang dibangunkan oleh syarikat tempatan melalui kerjasama strategik Malaysia dan Arm Limited dijangka memasuki peringkat pengeluaran menjelang 2030.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembangunan reka bentuk cip mengambil masa kira-kira tiga tahun bagi syarikat yang menerima akses kepada harta intelek (IP) Arm sebelum ia ke peringkat pengeluaran.
“Syarikat akan menerima akses IP yang berbeza mengikut spesifikasi mereka. Jadi sudah pasti kita melihat kepada kapasiti mereka untuk menghasilkannya, tetapi kita meletakkan tempoh masa kira-kira tiga tahun untuk mereka menghasilkan produk pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik Antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited dalam Industri Semikonduktor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini empat syarikat telah memulakan peringkat reka bentuk berdasarkan akses IP yang diterima mengikut spesifikasi masing-masing dengan proses seterusnya membabitkan usaha menghasilkan cip yang boleh diterima pasaran serta pelanggan yang dikenal pasti.
“Maksudnya reka bentuk itu mengambil masa kira-kira tiga tahun kerana yang pertama dapat pada hujung tahun lepas (2025), jadi 2028 dan kemudian apabila mereka mula mengilang cip tersebut, sudah pasti kita melihat kepada tempoh masa itu.
“Tetapi buat masa ini, memandangkan kita telah mempunyai empat syarikat untuk memulakan peringkat reka bentuk dan melihat kepada IP tersebut, jadi hasilkan reka bentuk itu dijangka menjelang 2028.
“Namun dalam proses itu, kita perlu memberi masa untuk mereka mengeluarkan dan memastikan ia boleh dipasarkan serta diterima oleh pelanggan yang telah mereka kenal pasti lebih awal,” ujarnya. – UTUSAN


