Isu Taiwan: PN ingatkan Anwar jangan jejaskan kepentingan ekonomi Malaysia

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak supaya lebih berhati-hati, berdisiplin dan bertanggungjawab ketika membicarakan isu sensitif berkaitan dasar luar negara bagi mengelak kesilapan diplomatik yang boleh menjejaskan kepentingan Malaysia.

Ketua Hal Ehwal Luar Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, kepimpinan matang memerlukan ketepatan dan pertimbangan wajar, khususnya apabila kenyataan Perdana Menteri boleh ditafsirkan masyarakat antarabangsa sebagai pendirian rasmi kerajaan.

“Oleh itu, kami mendesak Perdana Menteri supaya lebih berhati-hati, berdisiplin dan bertanggungjawab ketika membicarakan isu sensitif berkaitan dasar luar.

“Kepimpinan yang matang memerlukan ketepatan dan pertimbangan yang wajar, bukannya kesilapan diplomatik yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Anwar dalam satu wawancara dengan Al Jazeera baru-baru ini berkata, beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China.

Katanya, Malaysia kekal dengan Dasar Satu China walaupun menerima kritikan berhubung pendirian itu malahan dasar berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah diamalkan Malaysia sejak era Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara berkata, kebimbangan mereka timbul susulan kenyataan terbaharu Anwar mengenai status Taiwan itu mencetuskan respons rasmi daripada Kementerian Luar Taiwan (MOFA).

Beliau menegaskan, Malaysia sememangnya kekal berpegang kepada Dasar Satu China, namun dasar berkenaan tidak menghendaki kerajaan mengeluarkan kenyataan yang melampaui pendirian diplomatik sedia ada.

Menurutnya, Dasar Satu China Malaysia kekal sebagai pendirian yang konsisten dan berterusan kerajaan.

“Bagaimanapun, pematuhan terhadap dasar itu tidak menghendaki kerajaan mengeluarkan kenyataan yang melampaui pendirian diplomatik sedia ada, apatah lagi kenyataan cuai atau tidak tepat yang boleh menjejaskan hubungan ekonomi penting Malaysia dengan Taiwan.

“Dasar Satu China juga tidak bermakna Malaysia perlu menyokong, membenarkan atau mengiktiraf penggunaan kekerasan tentera bagi menyelesaikan isu China-Taiwan,” ujarnya.

Kata Ahli Parlimen Machang itu, Malaysia bebas mengekalkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan mana-mana negara termasuk China dan Taiwan berdasarkan kepentingan nasional tanpa perlu memihak kepada mana-mana pihak berhubung cara pertikaian itu harus diselesaikan.

“Terdapat perbezaan jelas antara menghormati Dasar Satu China dengan menyokong penggunaan kekerasan. Malaysia boleh terus berpegang kepada perkara pertama tanpa menyokong perkara kedua,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal meminta kerajaan menjelaskan sama ada kenyataan Anwar mengenai Taiwan mencerminkan pendirian rasmi kerajaan dan Jemaah Menteri atau sekadar pandangan peribadi Perdana Menteri.

Beliau menambah, Malaysia perlu mengekalkan autonomi strategik dan mengelak daripada dilihat berpihak kepada mana-mana kuasa besar.

“Hubungan dengan China sememangnya penting, namun Malaysia juga perlu memelihara hubungan diplomatik dan ekonomi yang konstruktif dengan negara lain termasuk Taiwan.

“Sebarang peningkatan ketegangan atau konflik di Selat Taiwan akan membawa kesan serius terhadap ASEAN, keselamatan serantau, kestabilan maritim, perdagangan dan rantaian bekalan global,” katanya.

Menurutnya, Malaysia sepatutnya menggalakkan pengurangan ketegangan dan dialog secara aman, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyumbang kepada peningkatan ketegangan atau mengundang reaksi negatif daripada negara lain.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, isu berkenaan turut mempunyai implikasi ekonomi besar memandangkan Taiwan ialah rakan dagang kelima terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM176.1 bilion.

Ulasnya, industri elektrik dan elektronik Malaysia, khususnya di Pulau Pinang dan Kulim, amat bergantung kepada komponen huluan dari Taiwan, manakala ribuan rakyat Malaysia dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi bergantung kepada kestabilan hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

“Hubungan Malaysia-Taiwan turut membabitkan sektor pendidikan dan tenaga apabila ribuan pelajar Malaysia, khususnya daripada latar belakang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan ekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), melanjutkan pengajian tinggi di Taiwan setiap tahun.

“Taiwan juga merupakan pembeli penting gas asli cecair (LNG) dari Bintulu, Sarawak dalam jangka panjang, sekali gus menjadikan hubungan tenaga antara kedua-dua pihak terdedah kepada sebarang ketegangan diplomatik yang tidak wajar,” katanya.

Kata beliau, dasar luar bukan medan untuk mengeluarkan kenyataan secara sambil lewa kerana kata-kata Perdana Menteri membawa implikasi terhadap pelaburan, pekerjaan, peluang pendidikan, perdagangan, kestabilan serantau dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Scroll to Top