Putrajaya: Dua lelaki terlepas tali gantung apabila Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati berkenaan kepada penjara selama 30 tahun dengan masing-masing dikenakan 12 kali sebatan, atas kesalahan mengedar dadah.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azmi Ariffin (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid yang menolak rayuan Muhamad Nor Aziz dan Muhamad Shafiq Aliff Mazlan terhadap sabitan mereka.
Bagaimanapun, panel itu telah membenarkan rayuan kedua-dua lelaki tersebut untuk mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman pemenjaraan selama 30 tahun serta 12 sebatan bagi setiap seorang. Hukuman pemenjaraan itu berkuat kuasa mulai tarikh mereka ditangkap, iaitu pada 24 Ogos 2019.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 11 Ogos lepas, Hakim Meor Hashimi berkata kelewatan hakim bicara selama dua tahun dalam menyediakan alasan penghakiman bukan suatu kelewatan yang melampau sehingga menyebabkan prejudis kepada kedua-dua perayu.
“Pada hemat kami, dakwaan peguam semata-mata tanpa keterangan kukuh menunjukkan berlaku salah laksana keadilan atau kegagalan keadilan pada pihak hakim bicara adalah tidak mencukupi untuk membatalkan sesuatu sabitan,” katanya.
Hakim Meor Hashimi berkata sebaliknya, kedua-dua perayu telah mendapat perbicaraan yang adil dan saksama serta diberi peluang sewajarnya untuk membela diri oleh hakim bicara.
Beliau berkata panel Mahkamah Rayuan turut menilai alasan penghakiman hakim bicara dan mendapati tiada apa-apa salah arah dalam penilaian kelakuan saksi-saksi dan tiada sebarang ketinggalan pada pihak hakim bicara dalam menilai fakta-fakta kes yang material.
Beliau berkata saksi pendakwaan yang bertindak sebagai agent provocateur turut memberikan keterangan yang kredibel dan konsisten, yang menunjukkan penglibatan kedua-dua perayu dengan niat bersama dalam pengedaran dadah tersebut.
Muhamad Nor, 40, seorang mekanik dan Muhamad Shafiq, 34, seorang pemandu lori, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Oktober 2022 atas kesalahan mengedar 32.5 gram heroin dan 45.2 gram monoacetylmorphines.
Bagi pertuduhan memiliki 895.9 gram Etizolam, kedua-dua lelaki itu turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun setiap seorang yang berkuat kuasa pada 24 Ogos 2019, iaitu tarikh mereka ditangkap.
Mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di dalam sebuah kereta Perodua Myvi, di Jalan Kepong Sentul, Kuala Lumpur pada 7.27 malam, 24 Ogos 2019.
Kedua-dua lelaki itu kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka bagi kesalahan mengedar dadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
