Gambar tular OKU tidak dapat naik lif disalah tafsir – ERL

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejadian seorang individu orang kurang upaya (OKU) yang tular di media sosial selepas didakwa tidak dapat menaiki lif di sebuah stesen pengangkutan awam semalam disalah tafsir oleh segelintir pihak yang tidak mengetahui konteks sebenar kejadian.

Express Rail Link (ERL) dalam kenyataan menjelaskan penumpang terbabit sudah memaklumkan lebih awal mengenai bantuan yang diperlukannya.

Katanya, ketika kejadian, penumpang terbabit baru sahaja dibantu keluar dari tren oleh anggota keselamatan.

“Ketika gambar berkenaan dirakam, anggota keselamatan sedang menyimpan tanjakan memasuki tren dengan selamat.

“Pada masa sama, penumpang terbabit sedang menunggu untuk dibantu menuju ke lif.

“Situasi berkenaan disalah tafsir oleh segelintir pihak yang tidak mengetahui konteks sebenar kejadian,” katanya.

Menurut kenyataan itu, keutamaan ERL adalah memastikan semua penumpang dapat melakukan perjalanan dengan selamat, selesa dan bermaruah.

Katanya, aspek kebolehcapaian adalah bahagian penting dalam komitmen ERL untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, inklusif dan lancar.

“Kemudahan kami direka bagi membantu penumpang bergerak di stesen dengan mudah, khususnya mereka yang memerlukan bantuan tambahan atau akses tanpa tangga.

“Pada masa sama, kakitangan stesen dan anggota keselamatan kami dilatih serta dilengkapi dengan kemudahan untuk membantu penumpang yang memerlukan sokongan sepanjang perjalanan mereka.

“Sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard, kakitangan kami akan berkoordinasi dengan petugas di stesen destinasi bagi memastikan penumpang kurang upaya menerima bantuan yang diperlukan sebaik tiba,” katanya.

Terdahulu, tular gambar OKU berkerusi roda tidak dapat menaiki lif selepas dimasuki penumpang lain di sebuah stesen pengangkutan awam.

Perkongsian itu tular di media sosial sejak semalam itu mengundang reaksi warga maya yang berpendapat keutamaan perlu diberikan kepada OKU, warga emas dan wanita hamil untuk menggunakan kemudahan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top