Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa kerajaan menyasarkan institusi Islam menerusi usaha membongkar rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

Memetik laporan maalysiakini, beliau berkata, siasatan terhadap TH dibuat kerana agensi berkenaan berada di bawah kerajaan selain terdapat isu tertentu yang memerlukan penelitian lanjut.
Katanya, usaha membanteras salah laku tidak wajar dilihat melalui kaca mata kaum atau agama, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh sesebuah institusi.
“Malah kalau tanya saya, orang Islam, orang Melayu patut lebih bersungguh-sungguh, lebih teliti dalam soal pengurusan, akhlak dan nilai kerana kita patut jadi contoh.
“Dalam dakwah ini, dakwah *bilhal* (melalui teladan). Dakwah paling berkesan ini dakwah contoh.
“Kita mesti memerangi dadah, tapi dadah banyak dalam kalangan kita. Kita mesti lawan rasuah, tapi yang pelahap rasuah pun ramai dalam kalangan kita. Jadi, itu bukan contoh.
“Tapi kadang-kadang sukar nak diberi penjelasan kerana orang tak senang dengan perkara ini,” kata Anwar ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama pengurus Felda di Bangi pagi tadi.
Walaupun tidak menyebut nama mana-mana individu, kenyataan itu difahamkan merujuk kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Semalam, Ahli Parlimen Marang itu menerbitkan artikel panjang yang mengaitkan kritikan terhadap dakwaan salah laku dalam TH dengan apa yang didakwanya sebagai usaha mencemarkan imej Islam.

Hadi mendakwa isu berkenaan diperbesar-besarkan oleh “segelintir” pihak yang mensensasikan dakwaan salah laku dengan niat jahat sehingga boleh memalukan umat Melayu-Islam.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan tindakan pihak berkuasa tidak dibuat berdasarkan latar belakang agama, kaum mahupun kecenderungan politik seseorang.
Sebaliknya, katanya, mereka yang disiasat diberi perhatian kerana wujud dakwaan bahawa amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka telah dikhianati.
“Saya tak tahu siapa yang salah atau tidak. Siasatlah. Kalau salah, salah. Saya tak kira parti mana.
“Dalam senarai yang ada itu, kita bukan pilih kerana dia ahli mana-mana parti. Ia kerana tanggungjawab yang diberikan dan dia khianati amanah,” jelasnya.
Artikel lain: Negeri PAS bersih rasuah, PH sepenggal sudah kedengaran salah laku – Abdul Hadi
Anwar pada masa sama melahirkan rasa kesal terhadap sikap pihak tertentu yang seolah-olah menganggap isu rasuah tidak wajar didedahkan hanya kerana ia membabitkan sebuah institusi Islam.
“Ini bila ada masalah kes rasuah, tak bolehlah sebab ini badan Islam. Jangan kita hebahkan, malu kita.
“Tak betul. Kita harus jadi contoh. Kalau dah berlaku, kita jadi contoh bahawa kita mahu bersihkan. Orang boleh terima,” katanya lagi.
Sumber: malaysiakini (Hariz Mohd)

