KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis membidas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini.
Ketuanya, Azzin Izzad Bahanudin berkata, isu penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya diheret menjadi polemik politik, kaum atau agama sehingga menimbulkan ketegangan masyarakat.
Beliau juga bersetuju dengan prinsip yang ditegaskan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bahawa negara ini mempunyai undang-undang yang mesti dihormati.
“Kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tidak bermaksud peraturan berkaitan pemilikan tanah dan pembinaan boleh diketepikan.
“Sekiranya sesuatu struktur dibina tanpa kebenaran atau hak milik yang sah dan proses sewajarnya telah dilaksanakan, tindakan penguatkuasaan perlu dihormati,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Asri menegaskan isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan kedaulatan peraturan bukannya dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen agama atau perkauman.
Mohd Asri berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan semua pihak perlu menghormati peraturan berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.
Ia sebagai reaksi terhadap kenyataan Rayer yang menggesa Barisan Nasional (BN) menilai semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman.
Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menghormati kepelbagaian kaum dan agama sekiranya diberi peluang mentadbir negara di peringkat Persekutuan
Rayer mendakwa Perlembagaan Persekutuan menjamin dan melindungi hak rakyat untuk menganuti agama selain Islam yang merupakan agama Persekutuan serta prinsip itu perlu dihormati semua kerajaan negeri termasuk pentadbiran PN di Perlis.
Sementara itu, Azzin Izzad berkata, AMK Perlis tetap mempertahankan hak masyarakat Hindu dan penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing.
“Sebarang penguatkuasaan melibatkan rumah ibadat juga perlu dilakukan secara berhemah dan penuh sensitiviti. Jangan politikkan agama, hormati undang-undang, hak beragama dan pelihara keharmonian,” katanya.-UTUSAN
