'Ketika bersalam dia merenung saya, tak sangka itu kali terakhir lihat arwah suami'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komuniti pemandu e-hailing, Persatuan Rakan Grab serta Grab Malaysia menyantuni keluarga Allahyarham Faizu Mukhtar yang dilaporkan meninggal dunia di dalam kereta di parkir berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 13 Ogos lalu.

Pengerusi Rakan Grab, Shanlee Tan Shamsuri berkata, kunjungan pihaknya ke rumah balu Allahyarham iaitu Nur Ermaidayu Ramli, 40, bertujuan menyampaikan bantuan berbentuk keperluan harian bagi meringankan beban keluarga.

“Kami hadir bukan sekadar sebagai rakan pemandu, tetapi sebagai sebuah keluarga yang turut berkongsi kedukaan atas pemergian Allahyarham.

“Di samping itu menyampaikan ucapan takziah dan memahami keperluan keluarganya dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Nur Ermaidayu berkata, dia amat terharu dengan keprihatinan komuniti pemandu e-hailing dan Grab Malaysia yang hadir menziarahi serta membantu meringankan beban keluarganya selepas pemergian suaminya.

“Saya amat berterima kasih kepada Persatuan Rakan Grab dan wakil Grab Malaysia yang datang ziarah saya dua beranak bersama sumbangan.

“Mereka juga akan membantu urusan lain seperti tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan urusan berkaitan Allahyarham,” katanya.

Mengimbas kembali, Nur Ermaidayu berkata, detik terakhir bersama suaminya sekitar jam 6.30 pagi pada 13 Ogos lalu masih segar dalam ingatan apabila Allahyarham menghantarnya sehingga ke depan pintu sebelum dia keluar bekerja.

Katanya, tiada sebarang perubahan pada keadaan suaminya ketika itu, malah dia sempat bersalaman sebelum bergegas ke tempat kerja.

“Pagi itu tiada apa-apa perubahan pada dirinya. Saya sudah lewat untuk ke tempat kerja dan dia menghantar saya sehingga ke depan pintu.

“Saya bersalam dengannya dan ketika itu saya perasan dia hanya merenung saya.

“Itulah yang paling saya terkilan kerana langsung tidak menyangka itu kali terakhir saya melihatnya,” katanya.

Dia berkata, sebelum keluar bekerja, Allahyarham turut sempat membawa anak lelaki mereka berusia empat tahun keluar makan walaupun sudah lewat untuk menghantarnya ke pusat asuhan.

Nur Ermaidayu berkata, kira-kira jam 9.45 malam, dia menerima panggilan daripada rakan Allahyarham yang memaklumkan suaminya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta.

“Tidak sampai 10 minit kemudian, saya dimaklumkan suami sudah meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat di hospital mendapati suami meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jalil pada 14 Ogos lalu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top