Putera Harry, kumpulan pihak menuntut diperintah bayar kos perundangan AS$13 juta

London: Putera Harry dan kumpulan pihak menuntut bersama diperintah membayar kos perundangan awal sebanyak 9.54 juta Pound Sterling (kira-kira AS$13 juta) selepas tewas dalam kes tuntutan mereka terhadap penerbit Daily Mail, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kumpulan tujuh individu berkenaan, yang turut dianggotai Elton John, Liz Hurley dan Baroness Doreen Lawrence, menyaksikan kesemua tuntutan mereka ditolak oleh Hakim Nicklin bulan lepas.

Associated Newspapers Limited (ANL), penerbit Daily Mail, menyatakan jumlah keseluruhan kos perundangan mereka melebihi 34.5 juta Pound Sterling (kira-kira AS$47.05 juta).

Bagaimanapun, jumlah penuh berkenaan tidak perlu dibayar serta-merta.

ANL memohon bayaran interim sebanyak lebih 9.9 juta Pound Sterling (AS$13.50 juta). Peguam yang mewakili Harry dan pemohon lain berhujah bahawa bayaran awal sepatutnya melebihi sedikit 7.9 juta Pound Sterling (kira-kira AS$10.77 juta).

Kumpulan pemohon mendakwa bahawa pengumpulan maklumat secara haram berlaku di syarikat penerbitan itu bagi tempoh 30 tahun sejak awal 1990-an.

Dakwaan mereka merangkumi pemintasan mel suara, penggodaman talian tetap dan mendapatkan maklumat secara penipuan atau “blagging.”

Mereka mendakwa penceroboh peribadi, wartawan bebas dan kakitangan ANL terbabit dalam tindakan itu. ANL menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.

Dalam penghakiman setebal 436 muka surat, Hakim Nicklin berkata, tiada seorang pun daripada pemohon berjaya membuktikan dakwaan mereka mengenai pengumpulan maklumat secara haram, termasuk penggodaman telefon.

Susulan keputusan pada Julai itu, ANL menyifatkan keputusan berkenaan sebagai “kemenangan mutlak” dan “pembersihan nama yang gemilang bagi kewartawanan Daily Mail.”

Ia turut menyifatkan penghakiman itu sebagai “kritikan pedas terhadap percubaan untuk merosakkan sesebuah akhbar serta reputasi wartawan, penyunting dan eksekutifnya.”

Perintah terbaharu itu bermakna Harry dan pemohon lain kini perlu membuat bayaran awal bagi menampung kos perundangan ANL.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top