Arteta puas The Gunners benam Coventry

London: Mikel Arteta berkata kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Coventry dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris membuktikan juara bertahan itu masih belum kehilangan keinginan untuk terus memburu trofi.

Skuad kendalian Arteta menyambung rentak musim lalu apabila mudah menundukkan Coventry yang jelas berdepan kesukaran di Stadium Emirates hasil jaringan Kai Havertz, Bukayo Saka dan Martin Odegaard.

The Gunners diletakkan sebagai pilihan utama mempertahankan gelaran dan persembahan penuh keyakinan itu memberi bayangan pencabar mereka mungkin berdepan tugas sukar untuk menyaingi Arsenal musim ini.

Arteta turut gembira melihat cara pemainnya berusaha menekan Coventry tanpa henti sehingga pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris itu sukar mengembangkan permainan.

“Mereka kelihatan sama seperti musim lalu bagi saya. Apa yang saya sampaikan kepada mereka adalah untuk menunjukkan lebih keinginan dan memperoleh hak untuk menjadi lebih baik daripada semua orang.

“Banyak perkara yang boleh disukai daripada persembahan ini. Ia keputusan yang hebat, tetapi juga cara kami memulakan perlawanan.

“Ia mengenai penguasaan, kejelasan dan persefahaman. Ia benar-benar mengagumkan,” kata Arteta.

Arteta turut memuji keserasian pemainnya ketika mereka berulang kali membelah pertahanan Coventry, dengan pemain sayap baharu, Christos Tzolis, turut menyerlah pada penampilan sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris selepas menyertai Arsenal dari Club Brugge.

“Kami begitu dominan, mempunyai hubungan yang luar biasa antara satu sama lain dan sangat tepat ketika menguasai bola.

“Pemain perlu menjadi penentu dan mereka melakukannya hari ini. Mereka kelihatan benar-benar serasi dan bermain dengan tujuan yang jelas,” katanya.

Ditanya sama ada kemenangan besar Arsenal, pada hari mereka melengkapkan perpindahan pertahanan Aston Villa, Ezri Konsa, membuktikan mereka lebih kuat daripada pencabar lain, Arteta menolak tanggapan itu.

“Tidak. Kerana apabila saya melihat skuad lain, sebahagian daripadanya luar biasa dan jauh lebih besar daripada kami.

“Kami cuba meningkatkan pasukan dan melakukan apa yang kami rasa tepat untuk kami serta memahami pemain yang boleh menjadikan kami lebih baik dan memberi kelebihan.

“Ezri adalah pemain yang kami benar-benar sukai di barisan pertahanan. Kami mendapatkan seorang pertahanan hebat dengan personaliti yang kuat, jadi saya sangat gembira,” tambanya.

Pemain tengah Brazil, Bruno Guimaraes, yang dibawa masuk dari Newcastle ketika jendela perpindahan musim panas, tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, namun Arteta tidak menjangka pemain itu akan tersisih lama.

Odegaard pula menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan ideal buat Arsenal pada kempen baharu.

“Permulaan yang sempurna. Tiga gol dan tanpa bolos. Ia persembahan yang benar-benar mantap.

“Kualiti pasukan ini luar biasa dan kami melihatnya setiap hari dalam latihan. Tahap persaingan antara kami juga luar biasa dan kami semua saling mendorong,” kata pemain tengah The Gunners itu.

Dalam gambaran jelas betapa tumpulnya serangan Coventry, pasukan pelawat itu mengambil masa 60 minit sebelum mencatat sentuhan pertama di dalam kotak penalti Arsenal.

Skuad kendalian Frank Lampard itu kembali ke saingan divisyen teratas selepas 25 tahun dan pengendali Coventry berkenaan mengakui pasukannya menerima pengajaran daripada Arsenal.

“Pasukan yang hebat dan satu pengajaran baik untuk pemain kami melihat tahap sebenar yang diperlukan. Mereka bermain seperti juara.

“Ia perlawanan yang sukar untuk kami, tetapi pengalaman berada di stadium ini, suasana ketika permulaan perlawanan dan melihat kualiti yang mereka miliki mungkin baik untuk kami.

“Apabila anda melepaskan gol, ia bukan sesuatu yang baik daripada kami dan itulah realitinya,” kata Lampard.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top