Israel tidak peduli kecaman antarabangsa projek E1 di Tebing Barat

TEL AVIV: Israel tetap berdegil meneruskan projek penempatan E1 di Tebing Barat dan tidak mempedulikan bantahan antarabangsa yang mengecam pembinaannya di atas tanah milik rakyat Palestin.  

Britain, Itali, Perancis dan Jerman bersama-sama mengutuk keputusan Israel untuk meneruskan tender pembinaan bagi projek tersebut dan akan akan menjejaskan harapan terhadap penyelesaian negara Pa­lestin dan Russia. Semua negara itu turut memberik amaran bahawa rejim Zionis semakin diasingkan  di peringkat global.

Dalam kenyataan bersama, keempat-empat kerajaan itu menyifatkan langkah sedemikian tidak boleh diterima kerana pembangunan E1 akan membentuk penghalang merentasi Tebing Barat dan menjejaskan kesinambungan wilayah Palestin, sekali gus memisahkan bahagian utara serta selatan wilayah berkenaan.

Keempat-empat kerajaan itu menyatakan bantahan mereka berdasarkan prinsip undang-undang, menegaskan peraturan antarabangsa jelas menyatakan penempatan Israel di Tebing Barat adalah haram, pendirian yang turut ditegaskan semula oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pelan zon E1 yang meliputi kira-kira 12 kilometer persegi antara Baitulmuqadis Timur dan penempatan Maale Adumim, sejak beberapa dekad dilihat sebagai kawasan penting yang akan menutup kemungkinan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan mempunyai kesinambungan wilayah di Israel.

Empat negara berkenaan turut mengecam tahap keganasan peneroka haram Yahudi terhadap orang awam yang belum pernah berlaku sebelum ini di Tebing Barat, selain sekatan serius yang menjejaskan ekonomi Palestin.

Kenyataan itu menggesa Israel menarik balik tender berkenaan dan menghentikan perluasan penempatan, sambil memberi amaran mengenai kesan diplomatik sekiranya rancangan itu diteruskan.

“Perkembangan tersebut secara keseluruhannya menunjukkan keadaan di lapangan semakin buruk dan memerlukan tindakan segera. Bukan sahaja ia akan menjauhkan kita daripada keamanan, malah semakin menjejaskan kedudukan antarabangsa Israel,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Mereka turut memberi amaran kepada sektor swasta dengan menggesa syarikat supaya tidak mengemukakan bidaan bagi kerja pembinaan berkaitan projek E1.

Mereka memberi amaran syarikat yang terlibat boleh berdepan kesan undang-undang dan reputasi, termasuk risiko didakwa bersubahat dalam pe­langgaran serius undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luar Mesir dan Jordan juga turut senada, menggesa masyarakat antarabangsa melaksanakan tanggungjawab serta mengambil langkah serius untuk menghentikan tender bagi pembinaan 1,234 unit penempatan projek E1 di timur Baitulmuqaddis yang diduduki.

 

Scroll to Top