Malaysia perlu berdiri lebih tinggi daripada konflik China-Taiwan – Pas

SHAH ALAM – Pas bimbang dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual terbaharunya dengan Al-Jazeera berkaitan isu membabitkan China dan Taiwan.

Kebimbangan itu terutama membabitkan kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan dalam penyuraian konflik berkenaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penegasan Perdana Menteri berhubung pendirian Malaysia mengenai dasar Satu China bukanlah masalah.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China sebagai suatu ‘noktah’, selain perbandingan dengan situasi di Malaysia mengenai penggunaan kekuatan ketenteraan sebagai pilihan bagi menghalang mana-mana negeri yang mahu ‘menarik diri’ daripada Persekutuan, telah meletakkan negara pada kedudukan diplomatik yang sukar.

“Pas percaya Malaysia perlu membezakan antara dasar diplomatiknya yang sudah mantap dengan pendirian memihak tentang bagaimana konflik China-Taiwan harus diselesaikan.

“Dasar Satu China tidak harus membenarkan tindakan unilateral mana-mana pihak atau menghalang Malaysia daripada menyokong dan mengutamakan dialog damai, persefahaman dua hala atau sikap kekangan dan kawalan diri pihak-pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Takiyuddin berkata, apabila Perdana Menteri dilihat cuba menganjurkan kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu itu, beliau tanpa disedari sudah menyempitkan ruang diplomasi Malaysia.

Menurutnya, keadaan itu juga melemahkan pendirian dan kecenderungan ASEAN dalam mengutamakan dasar tidak campur tangan, penyelesaian konflik secara aman dan autonomi strategik gabungan negara berjiran itu sendiri.

Pas juga menegaskan Malaysia tidak harus membiarkan dirinya dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam pertikaian dan konflik yang berpotensi besar menjadi lebih buruk.

“Kekuatan negara sangat bergantung pada kemampuan kita menjalin hubungan konstruktif dengan China, Amerika Syarikat, Taiwan atau rakan kongsi lain di semua peringkat dan dalam pelbagai bidang, sekali gus mempertahankan kepentingan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kepimpinan Anwar juga dilihat gagal mengetengahkan citra kepimpinan bijaksana dan berpandangan jauh yang mengutamakan pendekatan damai berkaitan isu yang mempunyai kesan antarabangsa besar dan luas.

Menurutnya, Perdana Menteri seharusnya menzahirkan kepercayaan dan harapan positif Malaysia agar kedua-dua pihak boleh merapatkan jurang yang wujud secara aman melalui dialog.

“Dialog bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat masing-masing, tetapi juga mengekalkan kestabilan wilayah dan dunia,” katanya.

Beliau berkata, turut menjadi kebimbangan serius ialah laporan media utama yang memetik kenyataan jurucakap kerajaan bahawa ‘Kabinet tidak membincangkan kenyataan Anwar berkenaan Taiwan dalam mesyuarat Kabinet’.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan amat penting mengenai koordinasi dan tanggungjawab kolektif anggota kerajaan berhubung dasar luar Malaysia.

Pas turut menegaskan Malaysia tidak harus dipaksa memilih antara Beijing dengan Taipei atau antara Beijing dengan Washington.

Sebaliknya, katanya, tanggungjawab lebih besar Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati ialah mendorong kedua-dua pihak mencari titik pertemuan bersama yang menguntungkan semua pihak.

“Situasi ketegangan semasa ini yang turut dipengaruhi oleh perkembangan politik domestik kedua-dua pihak tidak harus diterima sebagai trajektori ke arah konflik yang muktamad dan tidak boleh diterbalikkan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia perlu menampilkan kepimpinan bijaksana yang mampu berdiri lebih tinggi daripada pertikaian yang wujud, berprinsip untuk mempertahankan komitmen diplomatik yang sudah mantap serta berpandangan jauh dalam memelihara ruang strategik negara.

“Selain itu, tidak bersikap sewenang-wenang dan reaktif untuk segera mengutamakan keamanan serta kestabilan mengatasi penjajaran geopolitik jangka pendek,” katanya.

Scroll to Top