Dublin: Taikun teknologi Mark Zuckerberg dan isterinya, Priscilla Chan membeli sebuah istana di Ireland dan ‘teruja’ dengan kediaman bersejarah itu.
Jurucakap ahli perniagaan berkenaan berkata, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta itu membeli Istana Strancally iaitu istana tiga tingkat bergaya Gothic daripada keluarga Alen-Buckley sejak beberapa minggu lalu.
“Mark dan keluarganya teruja untuk terus menjaga kediaman bersejarah ini dan tidak sabar untuk meluangkan masa di Ireland, tempat Meta menempatkan ibu pejabat antarabangsanya,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Ogos.
Istana berkenaan dibina pada 1827 untuk seorang ahli politik England dan adalah kediaman tiga tingkat yang dibina daripada batu potong dalam gaya Gothic Revival di County Waterford, kira-kira 150 kilometer (km) ke barat daya Dublin.
Harga yang dibayar Zuckerberg dalam urus niaga luar pasaran itu bagaimanapun tidak diketahui.
Hartanah berkenaan menjalani kerja pengubahsuaian secara meluas sepanjang 20 tahun lalu oleh pemilik sebelumnya.
Michael Alen-Buckley ialah pengasas bersama firma pelaburan persendirian yang berpangkalan di London, RAB Capital.
Difahamkan, Meta menggaji kira-kira 1,500 pekerja di Ireland, dengan Dublin menjadi lokasi ibu pejabat antarabangsanya.
Operasi Meta di Ireland turut merangkumi perniagaan realiti maya dan realiti tambahan di Cork serta pusat data di luar Dublin.
Zuckerberg dan keluarganya akan terus menetap di Amerika Syarikat (AS) dan menggunakan hartanah di Ireland itu ketika menjalankan urusan perniagaan Meta di Ireland.
© New Straits Times Press (M) Bhd

