Alaphilippe bersara, akhiri karier selepas 17 tahun

Paris: Bekas juara dunia, Julian Alaphilippe mengesahkan persaraannya daripada dunia berbasikal selepas 17 tahun bergelumang dalam sukan itu.

Pelumba Perancis berusia 34 tahun itu mengumumkan perkara berkenaan menerusi media sosial selepas laporan awal media mencetuskan penghormatan daripada pelbagai pihak dalam dunia berbasikal.

Alaphilippe, yang menjuarai Kejohanan Dunia pada 2020 dan 2021 untuk meraih jersi pelangi, sebenarnya masih mempunyai kontrak bersama pasukan Tudor sehingga 2027.

Namun, perlumbaan terakhirnya adalah pada Tour de France tahun ini apabila dia menamatkan saingan di tempat ke-125 keseluruhan.

“Dengan perasaan yang sangat sukar digambarkan, saya menulis beberapa perkataan ini untuk mengumumkan berakhirnya karier sukan saya.

“Selepas melalui banyak pertimbangan, saya berbesar hati menutup bab ini dalam hidup saya di Champs-Elysees, menerusi Montmartre di Paris, pada peringkat terakhir Tour de France,” katanya.

Alaphilippe turut menyatakan rasa terima kasih kepada semua pihak yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya.

“Saya berasa amat bersyukur kerana berpeluang bekerja, bertemu atau sekadar berselisih dengan begitu ramai insan hebat sepanjang karier.

“Saya juga berasa sangat bertuah kerana dapat merealisasikan sebahagian daripada impian dan merasai emosi yang akan kekal bersama saya selama-lamanya.

“Saya bangga kerana dapat menyumbang kepada begitu banyak kejayaan untuk semua pasukan saya dan membolehkan anda semua turut merasainya.

“Anda sentiasa memberikan sokongan yang begitu besar kepada saya, termasuk ketika melalui detik paling sukar.

“Sebelum saya kembali menemui anda untuk berkongsi apa yang akan berlaku selepas ini, saya hanya mahu mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya,” katanya.

Sebelum pengesahan itu dibuat, laman web Belanda, WielerFlits dan akhbar Perancis, L’Equipe melaporkan Alaphilippe akan menamatkan kariernya tahun ini.

Tour de France dan Vuelta a Espana turut memberikan penghormatan kepada bekas pelumba Quick Step itu.

Alaphilippe memenangi enam peringkat dalam Tour de France sepanjang kariernya.

“Loulou. Dalam jersi kuning, polka dot dan pelangi, anda membuatkan kami bermimpi pada Julai dan sepanjang tahun! Terima kasih atas gaya, senyuman dan kelas anda,” kata pihak Tour de France menerusi X.

Alaphilippe turut meraih kemenangan peringkat pertamanya dalam perlumbaan Grand Tour di Vuelta a Espana pada 2017.

“Terima kasih atas segala-galanya, Loulou,” kata pihak Vuelta.

Tempoh terbaik Alaphilippe hadir antara 2018 hingga 2021 apabila dia memenangi Milan-San Remo pada 2019 selain meraih dua kemenangan peringkat dan memakai jersi kuning pendahulu selama 14 hari pada Tour de France tahun sama.

Kemuncak kariernya hadir apabila dia mencipta sejarah sebagai pelumba Perancis pertama memenangi Kejohanan Dunia dua tahun berturut-turut pada 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, kariernya selepas itu mula merosot akibat beberapa kemalangan serius, termasuk kemalangan ketika perlumbaan Liege-Bastogne-Liege pada 2022 yang menyebabkan dia tersisih selama beberapa bulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top