KUALA LUMPUR: Pewaris Malaysia menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Ronnie Liu yang cuba mengaitkan konsep negara Islam dengan kelompok ekstremis adalah sesuatu yang amat dangkal dan mengelirukan.
Menurut Setiausaha Agung Pewaris Malaysia, Nur Zaidy Maani, kenyataan itu boleh mengundang salah faham yang menyebabkan rakyat bukan Islam memandang serong dengan konsep negara Islam yang sebenar.
“Kenyataan yang mengaitkan negara Islam dengan kelompok esktremis dilihat tersasar dari fakta pentadbiran negara Islam sebenar dan ia juga dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap pentadbiran negara Islam di kalangan bukan Islam di negara ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ronnie berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya semalam yang bertajuk ‘Malaysia tidak akan dan tidak patut menjadi negara Islam’.
Ronnie sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan sensitif yang menyentuh agama Islam antaranya ialah mempersoalkan larangan minum arak terhadap pekerja Islam yang bekerja di kilang minuman keras, dan menganggap peraturan agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam di negara ini sebagai peraturan berat sebelah.
Sehubungan itu, Nur Zaidy meminta semua pihak khususnya ahli-ahli politik di negara ini agar berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan terutama dalam isu-isu yang menyentuh agama Islam.
“Sudah termaktub dalam perlembagaan negara bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dan sudah tentulah nilai-nilai Islam akan diselarikan dengan hal ehwal pentadbiran negara.
“Bahkan, negara kita dilihat sebagai sebuah negara Islam yang moderat dan maju berbanding dengan negara Islam yang lain di mata masyarakat antarabangsa adalah kerana nilai dan undang-undang Islam sebenar yang diterapkan di dalam pentadbiran negara.
“Apa yang jelas, penerapan nilai dan undang-undang Islam di negara ini tidak akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ekstremis Islam kerana Islam sendiri menolak kelompok yang melampau dalam beragama,” jelasnya.-UTUSAN
