Aplikasi e-Comel Maik bantu kesan awal autisme dalam kalangan kanak-kanak

KOTA BHARU: Sistem aplikasi berasaskan web, e-Comel menjadi platform baharu pengesanan awal gejala autisme dalam kanak-kanak yang baharu dilahirkan hingga usia enam tahun, yang memerlukan intervensi.

Sistem yang pertama diperkenalkan di Kelantan, malah antara terawal di Malaysia, dibangunkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Yang Dipertua Maik, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sistem berkenaan turut mengumpul data ibu bapa dalam kalangan asnaf yang mempunyai anak berusia sifar (baru dilahirkan) hingga enam tahun.

Katanya, e-Comel dilengkapi modul pengesanan melalui soalan yang akan menjana keputusan dan skor bagi menilai tahap perkembangan kanak-kanak sebelum dirujuk untuk pengesanan klinikal oleh pegawai perubatan.

“Sistem ini antara yang terawal di Malaysia bagi tujuan pengesanan awal kanak-kanak (gejala autisme),” katanya selepas merasmikan Program Kesedaran Ibu Bapa Asnaf Terhadap Intervensi Awal Perkembangan Anak 0-6 Tahun di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan memberitahu, e-Comel turut menyediakan modul e-pembelajaran bagi membolehkan ibu bapa mendapatkan panduan untuk membantu meningkatkan keupayaan anak-anak autisme, khususnya dalam merangsang perkembangan pembelajaran mereka.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak USM, Kumpulan Pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) UKM, Pusat OKU. USM-Maik dan lain-lain yang menjayakan program ini,” katanya.

Beliau berharap, kerjasama yang terjalin terus diperkukuh demi memastikan anak-anak, khususnya dalam kalangan keluarga asnaf, mendapat peluang yang sewajarnya untuk berkembang dan membina masa hadapan.

“Bantuan kepada asnaf tidak sewajarnya terbatas kepada bantuan kewangan, zakat, tetapi juga perlu menjadi instrumen pembangunan dan pemerkasaan ummah terutama dalam bentuk pendidikan,” katanya.-UTUSAN

 

Scroll to Top